top of page

KEADILAN bersedia sidang Parlimen dibuka kembali, rumus dasar lawan Covid 19


Parlimen perlu dibenarkan kembali bersidang sebagai strategi terbaik untuk merumus dasar baharu melawan jangkitan wabak Covid 19 yang semakin membimbangkan.


Ketua Whip KEADILAN di Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, rakyat menuntut ketelusan dan pertanggungjawaban dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang kini dilihat gagal mengawal penularan pandemik serta lemah dalam mengendalikan program vaksinasi.


Sehubungan itu, katanya, dengan pembukaan sidang Parlimen satu perbincangan telus rentas parti boleh dilakukan oleh wakil-wakil rakyat untuk mencari solusi atau merumus strategi baharu dalam menamatkan ancaman Covid 19.


"Cara terbaik menangani hal ini ialah dengan memastikan Parlimen bersidang semula secepat mungkin. Persidangan akan membolehkan Ahli Parlimen backbencher meminta penjelasan terperinci dari menteri-menteri yang jelas telah gagal.


"Persidangan Parlimen juga akan memberi peluang kepada semua Ahli Parlimen mencadangkan dasar yang lebih baik dan membolehkan semua Jawatankuasa Pilihan Khas beroperasi.


"Dengan perkara itu, dan sebagai jawapan kepada saranan Menteri Undang-Undang agar persidangan Parlimen hibrid dipertimbangkan, saya selaku Ketua Whip KEADILAN telah mengarahkan semua Ahli Parlimen KEADILAN bersiap sedia untuk persidangan Parlimen. Saya percaya dan sangat berharap agar Parlimen dapat bersidang lebih awal dari bulan Ogos," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurut Ahli Parlimen Sungai Petani itu lagi, persiapan awal telah dibuat bagi menghadapi kemungkinan persidangan hibrid dan Ahli-ahli Parlimen KEADILAN telah pun diarahkan mengadakan sesi perbincangan menerusi aplikasi Zoom membicarakan isu-isu yang perlu diketengahkan dalam perbahasan.


"Pejabat saya mula mengatur perbincangan dasar melalui Zoom dengan Ahli-ahli Parlimen KEADILAN. Hari ini, kami mengadakan sesi pertama taklimat mengenai keadaan pandemik serta ekonomi negara, yang dibentang oleh Dr Lee Boon Chye, Ahli Parlimen Gopeng dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.


"Taklimat dan sesi soal jawab tersebut telah mengambil masa satu jam dan selepas itu kami juga mengadakan sesi perbincangan dasar terbuka lebih sejam menyentuh pelbagai topik.


"Sesi taklimat seterusnya akan memberi tumpuan kepada dasar pendidikan serta luar negeri. Secara keseluruhannya, KEADILAN telah merancangkan lima sesi dalam tempoh 10 hari, dan jika perlu, jadual ini boleh dipercepatkan," katanya.


Selian itu, kata Johari, semua Jurucakap Parlimen KEADILAN turut ditugaskan untuk meneliti dan berkongsi data dan dasar serta memimpin perbincangan-perbincangan dasar.


Katanya lagi, semua Ahli Parlimen KEADILAN dianggap cukup bersedia untuk persidangan Parlimen seawal minggu ketiga Jun 2021.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page