top of page

KEADILAN bersedia hadapi pilihan raya umum mengejut

Updated: Jul 13, 2020



Tidak memandang mudah ketidakstabilan politik gabungan Perikatan Nasional (PN) dan kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 mengejut diadakan menjelang hujung tahun, Jabatan Pilihan Raya Parti (JPRP) KEADILAN mengadakan bengkel persediaan pilihan raya pagi tadi.


Bengkel Kejurulatihan Pilihan Raya di Institut Darul Ehsan, Shah Alam itu menumpukan strategi dan kesiapsiagaan jentera pilihan raya di peringkat nasional. Beberapa cadangan dan senario PRU dibentangkan oleh Biro Penerangan, Biro Strategi, Ketua Wanita serta beberapa pemimpin utama parti.

Menurut Ketua Sekretariat Operasi JPRP, Senator Ismail Yusop (gambar) dalam temubual sebelumnya, arahan bersedia menghadapi pilihan raya telah pun dikeluarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertindak sebagai Pengarah Pilihan Raya sejak beberapa minggu lalu. Manakala Ismail sendiri telah menjelajah ke hampir semua negeri bagi memastikan persiapan berjalan lancar.


"Struktur kita kali ini, jawatan kuasa pilihan raya diketuai oleh Datuk Seri Presiden dan Biro Politik pusat sebagai jawatan kuasa pilihan raya pusat.


"Jadi di peringkat saya, sekretariat operasi, fokusnya untuk menggerakkan jentera pilihan raya di peringkat parlimen dan DUN.


"Kita hampir selesai jelajah bertemu sekretariat operasi pilihan raya negeri. Tujuan kita, pertamanya bagi menjelaskan struktur. Biasanya dalam PRU berlaku kesilapan komunikasi dari segi arahan pusat (central command) yang sampai kepada jentera di lapangan.


"Kedua, kita mahu pastikan jentera itu bersedia dari segi daftar pemilih, petugas, sukarelawan juga bantuan (diperlukan dalam) menjalankan kempen pilihan raya. Bagi saya perlu ada satu koordinasi yang baik dari pihak operasi dan juga jabatan-jabatan yang lain, khususnya penerangan, komunikasi dan juga strategi," katanya.


Ketua Penerangan KEADILAN Datuk Seri Shamsul Iskandar memberi pencerahan berkenaan jentera penerangan

Ditanya sama ada PRU pada kali ini KEADILAN akan benar-benar bersedia memandangkan dua PRU lalu jentera parti agak tidak lancar dalam percetakan bahan kempen terutama di kawasan sub bandar dan luar bandar, Ismail memberi jaminan situasi akan lebih baik di bawah kawalan presiden sekiranya PRU berlaku dalam masa terdekat.


"Sebenarnya siapa yang ada pengalaman pilihan raya, antara yang kerap berlaku adalah masalah koordinasi. Namun saya yakin kali ini di mana Datuk Seri Anwar menjadi Pengarah Pilihan Raya, banyak yang kita akan perbaiki. Cuma saya harap disiplin ahli kita menjalankan kerja-kerja di peringkat bawahan.


"Sebab yang kita hadapi ialah pilihan raya mengejut (kalau berlaku hujung tahun ini). Masa kita hanya 3 bulan. Sedangkan persiapan PRU perlukan jangka masa yang lebih panjang.


"Namun kalau semua jabatan yang ada bekerja sebagai satu pasukan, saya yakin kita boleh hadapi PRU dan pertahan kerusi yang kita menang, juga mencapai kemenangan di kerusi yang belum dimenangi," katanya lagi.


Bengkel persediaan pilihan raya dirasmikan oleh Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan dihadiri wakil parti dari seluruh negara.


Para penganalisis politik meramalkan PRU 15 akan dipanggil secara mengejut sama ada pada bulan September atau November 2020. Bergantung kepada persiapan dan jangkaan kemenangan PN yang akan bertanding sebagai satu blok.


Namun PRU juga mungkin berlaku - pada pandangan penganalisis - jika pertembungan Umno dan Bersatu semakin sulit didamaikan yang akan memungkinkan parti terbesar dalam PN itu menarik balik sokongan dan kerajaan Muhyiddin terbubar.


Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page