top of page

KEADILAN beri ruang, hasilkan pemimpin pelapis di setiap peringkat

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read

KEADILAN tidak ketandusan pelapis dan berada di landasan tepat untuk meneruskan perjuangan Reformasi selepas era kepimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ketua Cabang KEADILAN Puchong, Zaihasri Jaafar (gambar) berkata, sebagai sebuah parti yang lahir daripada semangat perubahan, KEADILAN tidak pernah takut untuk berdepan dengan persoalan-persoalan besar mengenai masa depannya.


Katanya, perbincangan tentang pelapis kepimpinan bukan sesuatu yang baharu, malah ia merupakan proses yang perlu berlaku dalam mana-mana organisasi politik yang sihat dan demokratik.


"Saya percaya adalah tidak tepat untuk menggambarkan seolah-olah KEADILAN gagal melahirkan generasi kepimpinan baharu atau tidak mempunyai kapasiti untuk meneruskan perjuangan selepas era kepimpinan Datuk Seri Anwar.


"Hakikatnya, sejak penubuhannya pada tahun 1999, KEADILAN melalui beberapa generasi kepimpinan. Ramai tokoh yang pada suatu ketika dahulu merupakan aktivis muda, petugas parti atau pemimpin cabang kini memegang tanggungjawab besar sebagai anggota pentadbiran, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, pimpinan parti serta pemimpin masyarakat.


"Di Selangor, KEADILAN diketuai oleh pemimpin muda era Reformasi, Datuk Seri Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor.


"Proses kelahiran pemimpin dalam KEADILAN tidak berlaku secara kebetulan. Proses ini adalah hasil daripada budaya parti yang memberikan ruang kepada kader baharu untuk belajar, memimpin dan memikul tanggungjawab," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Zaihasri lagi, persoalan tentang masa depan KEADILAN tidak boleh dilihat semata-mata melalui lensa siapa individu yang bakal menggantikan Datuk Seri Anwar.


Persoalan yang lebih penting katanya ialah sama ada nilai-nilai Reformasi terus dipertahankan, institusi parti terus diperkukuh dan generasi pemimpin baharu terus diberikan ruang untuk berkembang.


"Dalam hal ini, saya yakin KEADILAN berada di landasan yang betul. Apa yang diperlukan sekarang bukanlah rasa pesimis terhadap masa depan parti, tetapi komitmen bersama untuk memperkukuh proses pembinaan kepimpinan yang telah berlangsung sejak lebih dua dekad lalu.


"Kita harus mengakui bahawa tidak ada seorang pun pemimpin yang akan kekal selama-lamanya. Namun sejarah juga mengajar kita bahawa perjuangan yang berasaskan nilai akan sentiasa menemukan pemimpin-pemimpin baharu untuk meneruskannya.


"Masa depan KEADILAN tidak terletak pada seorang individu. Masa depan KEADILAN terletak pada keupayaannya untuk terus melahirkan pemimpin yang setia kepada cita-cita Reformasi dan aspirasi rakyat Malaysia," ujarnya lagi.


Laporan media sebelum ini menyebut, mantan Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Rafizi Ramli meramalkan parti itu bakal menghadapi risiko besar untuk lenyap selepas era Anwar jika parti itu terus mengekalkan struktur birokratik lama dan gagal melakukan pembaharuan.


Rafizi mendakwa, fokus KEADILAN kini terlalu berpaksikan kepada kelangsungan politik Anwar semata-mata.


"Sebab keseluruhan fokus KEADILAN ialah untuk memastikan Anwar menjadi perdana menteri untuk penggal kedua.


"Kalau tengok kepada lapisan kepimpinan seterusnya, pandangan saya sebagai bekas timbalan presiden dan sekarang ini sebagai pesaing, ada percanggahan yang besar contohnya di antara Bersama dengan KEADILAN," katanya dipetik.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page