PDRM antara agensi tertinggi terima insentif lapor rasuah - SPRM


Integriti penjawat awam terus diiktiraf dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan jumlah penerima ganjaran tertinggi kerana tampil melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah sepanjang tempoh 2012 hingga 2025.
Sebanyak 437 penjawat awam daripada PDRM menerima pengiktirafan itu, daripada keseluruhan 652 penjawat awam yang menerima ganjaran berjumlah RM1.18 juta dalam tempoh berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata sepanjang tempoh itu, seramai 529 individu diperaku menerima ganjaran berserta sijil manakala 123 lagi menerima sijil penghargaan.
"Pengiktirafan ini bukan sahaja melambangkan penghargaan terhadap integriti penjawat awam tetapi juga menjadi satu dorongan dan contoh kepada penjawat awam yang lain," katanya dipetik ketika mempengerusikan Mesyuarat Panel Penilaian Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah Siri 15 Bil. 1 Tahun 2026 di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya semalam.
Program pengiktirafan itu merupakan kesinambungan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan pada 19 Ogos 2010 serta Surat Pekeliling Garis Panduan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara pada 11 Mei 2011.
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dan Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Hafaz Nazar.
Abd Halim berkata Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pula mencatatkan 64 penerima diikuti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) seramai 33 orang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebanyak 21 orang.
Bagi tahun ini pula, seramai 54 calon penjawat awam daripada empat agensi penguatkuasaan dikemukakan untuk penilaian, jelasnya.
Daripada jumlah itu, kata beliau PDRM menyumbang 38 calon diikuti Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) melibatkan 12 calon, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tiga calon dan JIM seorang calon.
Abd Halim berkata penilaian tahun ini melibatkan 30 kertas siasatan dengan nilai rasuah yang cuba ditawarkan berjumlah RM304,621.
Antara kes yang dinilai termasuk tindakan seorang pegawai PDRM di Perlis menolak tawaran rasuah RM200,000 berhubung kes rampasan dadah jenis syabu seberat 1.8 tan.
Satu lagi kes membabitkan penolakan suapan RM45,000 di Johor.
Abd Halim berkata, semua calon yang dinilai perlu melalui proses tapisan keutuhan SPRM serta semakan rekod jenayah PDRM bagi memastikan mereka memenuhi syarat ditetapkan.
Mengenai kriteria kelayakan, Abd Halim berkata penjawat awam yang dicalonkan perlu membuat aduan rasmi mengenai pemberian atau penerimaan rasuah serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat SPRM sehingga perbicaraan kes di mahkamah selesai.
Beliau mahu inisiatif pemberian ganjaran ini diperluas bukan sahaja terhad kepada agensi penguatkuasaan malah kepada seluruh sektor perkhidmatan awam, khususnya pegawai di bahagian perolehan supaya tampil berani menyalurkan maklumat bagi membendung kegiatan rasuah.
"Keberanian penjawat awam untuk tampil melaporkan cubaan rasuah amat penting dalam membantu usaha membendung kegiatan rasuah dan memperkukuh budaya integriti dalam perkhidmatan awam," katanya.




Comments