Kembalikan politik Malaysia ke landasan rasional, sederhana, saling menghormati


Politik tidak seharusnya dijadikan alat untuk menakut-nakutkan rakyat atau mencetuskan kebencian antara kaum, demikian tegas Onn Abu Bakar (gambar).
Ahli Parlimen Batu Pahat itu memberi reaksi balas dengan menyambut baik pandangan Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang menyeru agar politik Malaysia kembali kepada landasan rasional, sederhana, inklusif dan saling menghormati, serta meninggalkan politik toksik yang boleh memecah-belahkan masyarakat.
Onn berkata, kekuatan Malaysia tidak terletak kepada satu kaum, agama atau satu wilayah sahaja.

Sebaliknya, beliau menyifatkan, kekuatan negara terletak kepada keupayaan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan wilayah untuk hidup bersama, menghormati antara satu sama lain dan membina negara ini secara bersama.
"Kita boleh memperjuangkan kepentingan masyarakat masing-masing tanpa menafikan hak masyarakat lain. Kita juga boleh berbeza pandangan politik tanpa menjadikan perbezaan itu sebagai alasan untuk bermusuhan.
"Saya turut bersetuju dengan pendekatan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar perhatian negara terus diberikan kepada pembangunan, kestabilan politik, pengukuhan ekonomi, peluang pekerjaan, pelaburan serta kos sara hidup rakyat.
"Sebagai Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan, kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk menyokong usaha yang membawa kestabilan dan kemajuan kepada negara.
''Perbezaan pandangan tetap boleh disuarakan dalam sebuah demokrasi, tetapi kepentingan rakyat dan negara mesti sentiasa mengatasi kepentingan politik kepartian," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, Onn turut menzahirkan minat terhadap konsep ‘Waad Nasional’ yang diketengahkan Perdana Menteri sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu.
Beliau yang juga Setiausaha Politik pejabat Presiden KEADILAN berkata, Malaysia dibentuk atas janji, kepercayaan dan persefahaman antara wilayah yang membentuk Persekutuan.
Justeru, waad tersebut bukan sekadar untuk dikenang dalam ucapan setiap kali Hari Malaysia, sebaliknya ia perlu diterjemahkan melalui tindakan.




Comments