
Mahasiswa KEADILAN Malaysia (MKM) melalui Pusat Khidmat Masyarakat KEADILAN mewujudkan program bantuan Pembelajaran Atas Talian kepada mahasiswa ketika era pandemik Covid 19.
Program tersebut yang dirasmikan di Port Dickson pagi tadi melibatkan kerjasama 15 Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) KEADILAN seluruh negara.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, program tersebut diharap akan memberi ruang fasiliti dan kemudahan internet kepada semua mahasiswa yang terkesan dan memerlukannya.
"Kita minta semua pejabat ADUN dan pejabat Parlimen membantu memberi kemudahan tambahan dalam pembelajaran atas talian.
"Belajar atas talian bunyinya menarik tetapi kalau kita tak waspada menyebabkan lebih teruk kesenjangan antara golongan berada dengan masyarakat awam.
"Kalau pun (mahasiswa) ada komputer, mungkin wi fi tidak ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat pembelajaran di pejabat Parlimen Port Dickson.
Menurut Anwar lagi, sekiranya Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN di seluruh negara boleh menyediakan pejabat mereka untuk bantuan pembelajaran atas talian maka beban mahasiswa dalam menimba ilmu akan berkurangan.
"Mereka (mahasiswa) diberi kemudahan pada waktu kerja sekurang-kurangnya (waktu operasi pusat khidmat) secara percuma. Cuma kita tambah sedikit dana untuk bayaran elektrik dan sebagainya.
"Mesej saya kepada semua Ahli Parlimen dan ADUN, kita sediakan kemudahan (pembelajaran) bukan untuk ahli (sahaja) parti tetapi juga untuk ke semua pelajar," katanya lagi.
Comentarios