Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN bakal membuat pelantikan baharu bagi mengisi jawatan Ketua Wanita dan Timbalan Ketua Wanita pada bulan ini.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Rodziah Ismail berkata pelantikan serta-merta boleh dibuat kerana menurut klausa perlembagaan parti, pelantikan baharu boleh dibuat apabila kekosongan berlaku secara luar biasa.
"Sepatutnya dalam KEADILAN calon dipilih melibatkan ahli di seluruh negara, dengan sistem satu orang satu undi, tapi ia akan ambil masa sedangkan kita memang memerlukan kepimpinan baharu.
"Jadi perlembagaan parti menyatakan urusan kepimpinan wanita boleh dibuat dalam MPP, jadi saya serah kepada presiden dan MPP dalam seminggu atau dua ini untuk membuat pelantikan baharu," katanya ketika ditemui di ibu pejabat KEADILAN.
Pada masa sama, Rodziah berkata MPP akan melantik ketua wanita dan timbalan ketua wanita yang terdiri daripada ahli pimpinan wanita dalam MPP.
Ini bermakna calon ketua wanita terdiri daripada Fuziah Salleh, Nor Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah, Zaliha Mustafa, Rayyan Abdul Rahim, Roziah Ismail, Elizabeth Wong dan Gan Pei Nei.
"Dalam konteks MPP, kami berpandangan bahawa jawatan ketua wanita tidak boleh diisi oleh naib ketua wanita, tapi mereka boleh isi jawatan timbalan ketua wanita.
"Jadi kita bagi mandat kepada MPP dan berharap dapat dipertimbangkan calon-calon tersebut," katanya.
Comments