
Meski pun kerajaan mengarahkan tiada rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina, namun hal itu tidak akan menjarakkan rakyat pelbagai kaum daripada berkongsi perasaan muhibah di musim perayaan.
Sehubungan itu, KEADILAN memutuskan untuk menganjurkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina secara maya yang boleh disertai rakyat Malaysia pada 13 Februari ini.
Pengarah Program Tahun Baharu Cina KEADILAN, Sim Tze Tzin berkata, program tersebut akan dilaksanakan melalui aplikasi Zoom dan Facebook LIVE bermula 11 pagi hingga 12 malam.
"Ini adalah cubaan pertama kami sebagai parti politik untuk menganjurkan program cara begini.
"Biasanya Tahun Baharu Cina adalah waktu rakan-rakan Tiong Hua balik ke kampung untuk bersama dengan ahli keluarga meraikan perayaan, tetapi oleh sebab Covid 19 ramai yang tidak dapat buat demikian.
"KEADILAN sebagai parti yang terdiri daripada berbilang kaum, kami tetap ingin mengekalkan tradisi menyambut perayaan ini bersama rakan dalam keadaan norma baharu. Kami akan menyediakan beberapa persembahan Tahun Baharu Cina dan ucapan-ucapan Tahun Baharu oleh pimpinan pusat dan negeri KEADILAN," katanya.
Menurut Pengarah Strategi KEADILAN itu, sepanjang 12 jam program bersiaran pimpinan-pimpinan utama akan memberi ucapan termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan pimpinan negeri seperti Menteri Besar Selangor serta Negeri Sembilan
"Kami juga akan menjemput rakan pimpinan negeri dan wakil persatuan Tiong Hua untuk meraikan bersama.
"Kami ingin mengajak orang ramai tidak mengira kaum dan agama menyertai program ini," katanya.
Menurut Sim lagi, rakyat boleh menyertai program berkenaan menerusi Facebook rasmi KEADILAN iaitu https://www.facebook.com/KeadilanRakyat/