Telahan mendakwa KEADILAN Cabang Ampang goyah atau 'mati' pasca Langah Sheraton dan selepas kehilangan bekas Ketua Cabang, Zuraida Kamaruddin tidak benar sama sekali.
Pengarah Komunikasi KEADILAN Ampang, Shahrom Hassan berkata, sebaliknya Cabang berkenaan semakin kukuh dengan penyertaan banyak ahli-ahli baharu sejak setahun lalu.
Oleh itu, beliau menafikan dakwaan yang dibuat Zuraida dalam temu bual bersama Utusan Malaysia 10 Mei lalu kononnya KEADILAN tidak lagi berfungsi di Ampang.
"KEADILAN Ampang menegaskan bahawa parti masih utuh dan bergerak dengan fokus kepada agenda Reformasi dan kepentingan rkayat. Ini dapat dilihat melalui pelbagai aktiviti dan program yang telah dijalankan sama ada melalui KEADILAN Cabang Ampang mahupun pertubuhan NGO yang menyokong perjuangan Reformasi pasca Langkah Sheraton
"Sokongan dari rakyat semakin kuat dengan penambahan keanggotaan ahli-ahli dan Ranting-ranting baharu, sekaligus membuktikan sokongan rakyat kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden KEADILAN dan Datuk Seri Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor semakin kukuh.
"Peningkatan anggota baharu ini secara tidak langsung telah menutup kelompongan ahli sebanyak 1% yang bertindak mengikut Zuraida selepas Langkah Sheraton," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Shahrom menyifatkan dakwaan Zuraida tersebut sebagai langkah terdesak melihat kebangkitan pengundi Ampang menjelang Pilihan Raya Umum ke 15.
"Kami memahami kenyataan beliau dengan tajuk rencana 'PKR Sudah Mati?' tidak lain dan tidak bukan hanyalah sekadar retorik dan terdesak.
"Kami percaya rakyat khususnya di Ampang sedar mengenainya. Rakyat sememangnya menolak pengkhianatan dan sedar kerajaan 'tebuk atap' telah gagal dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat," katanya lagi.
Untuk rekod, KEADILAN Ampang sejak setahun lalu sering bekerjasama dengan beberapa NGO bagi meneruskan program khidmat masyarakat dan memberi bantuan.
Salah satu NGO yang sering membuat program di sana adalah KitaBudakAmpang yang diterajui Datuk Hans Isaac serta beberapa NGO lain.
Comments