KEADILAN Ampang, khususnya di peringkat Ranting giat menganjurkan program sumbangan kasih kepada masyarakat India yang kurang berkemampuan sempena perayaan Deepavali kali ini.
Menurut KEADILAN Ampang, pengelola program S. Sunder telah mula mengaturkan penghantaran 80 set sumbangan sejak 2 minggu lalu ke kawasan Kampung Tasik Tambahan, Kampung Ampang Indah, Flat Seri Nilam dan beberapa penempatan lain.
“Kami percaya semangat KEADILAN dalam kalangan kawan-kawan dalam parti, kami mampu membuat sesuatu sekiranya kami bersatu hati,
“Kami mendapatkan sumbangan ini melalui cara ‘crowd funding’ bersama dan kami menjayakan program bersama," katanya Sunder yang juga Ketua Ranting Kampung Ampang Campuran, Jalan Ikan Lewat.
Tidak ketinggalan, MPKK Kampung Baru Cina Ampang dan MPKK Kampung Kuala Ampang juga tampil untuk memberi bantuan bersama. Ketua Kampung Baru Cina Ampang, Ee Wai Leong yang baru dilantik pada Ogos 2020 berkata program bantuan perayaan mampu meningkatkan rasa muhibbah penduduk berbilang kaum.
"Sebahagian daripada Kampung Baru Cina Ampang, dahulunya merupakan perkampungan komuniti India sebelum Bandar Baru Ampang dibina. Saya berharap, tradisi kebajikan sebegini harus diteruskan setiap tahun," katanya.
Sukarelawan bantuan, Amir dari Ranting Taman Datuk Ahmad Razali pula meluahkan rasa berpuas hati dapat menolong masyarakat.
“Saya berasa amat puas apabila melihat muka ceria mereka selepas menerima sumbangan ini. Sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka untuk sambutan Deepavali,” katanya.
Selain itu, Lursamy, Ketua Ranting Taman Dagang, juga membuat program pengagihan sayur percuma kepada penduduk di Flat Taman Dagang pada 8 November. Beliau menggalakkan komuniti India di kawasan itu supaya lebih menjaga kesihatan dalam menangani wabak Covid 19.
Turut hadir dalam program Sumbangan Kasih Deepavali Ampang adalah Andre Lai, Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan dan Patrick Ang, Ketua Kampung Kuala Ampang, merangkap Ketua Ranting KEADILAN Kuala Ampang.
Comentarios