KEADILAN tiang seri PH - Fahmi Fadzil
- Omar Zin
- Jul 26, 2020
- 2 min read

KEADILAN bukannya sekadar salah sebuah parti komponen Pakatan Harapan (PH), tetapi perlu diilihat sebagai tiang seri atau sumber kekuatan gabungan itu.
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata perkara ini telah dibuktikan dengan mandat yang diberikan kepada PH untuk mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
"Jangan sekali-kali lupa bahawa antara sebab PH menang adalah kerana kesepakatan menggunakan logo KEADILAN ketika PRU-14.
"Sebab itu, KEADILAN perlu dijadikan tiang seri dalam PH. Kita tak tolak sesiapa asalkan mereka faham dengan perjuangan kami dan berdiri teguh bersama kami.
"Malah, calon Perdana Menteri tak lain tak bukan adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kita konsisten dan harapan saya semua pihak dalam PH harus berpegang teguh dan berprinsip, jangan biarkan ada pihak yang mencabar pendirian itu," katanya ketika berucap di Konvensyen Penerangan KEADILAN.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyeru jentera penerangan supaya tidak terlalu awal berputus asa untuk mengembalikan mandat rakyat.
"Kita tidak mahu ambil kuasa hanya untuk mendapatkan kuasa. Kalau Perikatan Nasional (PN) lebih pentingkan jawatan, kita mahukan reformasi total.
"Jangan lupa kenapa kita ada dalam arus perjuangan ini, ingat kembali kepada Deklarasi Permatang Pauh dan perkara itu harus diterjemah dengan aktiviti di lapangan.
"Justeru, aktifkan jentera pilihan raya di seluruh negara dan dapatkan semula hak milik KEADILAN termasuk di Ampang.
"Walaupun rakyat tak mahukan pilihan raya, tapi kalau berlaku kita perlu bersedia, kita perlu menziarahi dan menyantuni rakyat, pastikan kerja diketahui umum di kawasan masing-masing," katanya.
Pada masa sama, Fahmi berharap jentera penerangan parti dapat terus menjalinkan kerjasama erat dengan komponen PH iaitu DAP dan Amanah.
"Pastikan ukhuwah dan saf setiakawan dipereratkan. Turun sama-sama dalam program dengan kawan-kawan di Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah.
"Rakyat sekarang bukan sahaja kenal KEADILAN tapi sayangkan KEADILAN. Semua ini kerana kita tak pernah culas dan melakukan yang terbaik untuk rakyat.
"Jadi, jangan biarkan sebarang perpecahan berlaku dalam parti. Bersatulah demi Malaysia," katanya.
Комментарии