
Kongres Nasional Khas KEADILAN akan diadakan pada 18 Mac ini bagi membincangkan persiapan menghadapi pilihanraya di 6 negeri yang dijangka pada Julai ini.
Menurut Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kongres khas tersebut akan memutuskan persiapan dan hala tuju rundingan kerusi yang akan diadakan bersama parti komponen Kerajaan Perpaduan kelak.
"Kongres ini membincangkan garis-garis besar antaranya hala tuju rundingan kerusi sebab berbeza dengan Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, parti-parti dalam UG (Kerajaan Perpaduan) akan duduk bersama dan berbincang.
"Kedua, elemen pemantauan kepada dasar-dasar kerajaan di bawah Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
"Ketiga, perkara melibatkan mobilisasi dan komunikasi yang menjadi tumpuan kongres ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya, tengah hari tadi.

Menurut Saifuddin lagi, pengisian utama ialah ucapan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ucapan itu katanya merupakan ucapan sulung beliau sejak menjawat Perdana Menteri.
"Ucapan itu akan berupa pelaksanaan bukan lagi desakan atau kritikan kerana beliau (Anwar Ibrahim) sudah menjawat jawatan nombor satu (Perdana Menteri). Jadi ia adalah pelaksanaan sebuah idealisme.
"Selain itu, akan ada siri perbahasan melibatkan wakil pembahas negeri, sayap jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita yang akan mengupas pelbagai sudut pandang dari sudut politik dan ekonomi bagi tujuan Pilihan Raya Negeri nanti,” katanya.
Tambah beliau, tema Kongres Nasional Khas yang bertempat di Stadium Melawati, Shah Alam ini adalah Malaysia Madani Pelaksanaan Sebuah Idealisme yang merealisasikan perjuangan KEADILAN sejak dua dekad lalu.