KEADILAN, ABIM dekati Suara Mahasiswa, selami perjuangan anti rasuah
- Suara Keadilan

- Jul 1
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
KEADILAN bersama beberapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil langkah mendekati kumpulan aktivis mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat dalam demonstrasi anti-rasuah baru-baru bagi memahami apakah yang mereka perjuangkan.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Amidi Abdul Manan berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan mahasiswa tersebut berhampiran kampus berkenaan pada Isnin lalu dalam suasana mesra.
"Saya bersama pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Sabah, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Sabah dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia Sabah telah bertemu dengan Muhammad Fadhil Muhamad Kasim dan beberapa orang pemimpin Suara Mahasiswa termasuk Alif Daniel dan beberapa mahasiswa yang lain.
"Selaku bekas pimpinan mahasiswa pada 1998, saya cuba memahami cara berfikir, idealisme perjuangan dan cara Suara Mahasiswa mengatur gerak," katanya dalam kenyataan.
Amidi yang juga Pengarah Eksekutif IDE Research berkata Fadhil merupakan mahasiswa yang berbakat dan berani selain didapati benar-benar memahami apa yang diperjuangkan.

"Beliau juga tahu memilih saat strategik untuk menggerakkan rakan-rakannya," ujar beliau.
Melalui perbincangan tersebut, Amidi berkata mereka sepakat bahawa masalah air di UMS merupakan angkara salah laku rasuah yang berleluasa.
"Mereka semua mengutarakan kekecewaan sikap para pentadbir sama ada di peringkat UMS, Jabatan Air Negeri Sabah dan Menteri Kerja Raya Sabah. Begitu juga dengan tindakan mencuri air oleh penduduk di sekitar kampus UMS yang mengakibatkan tekanan air yang rendah yang mengganggu kelancaran bekalan air di dalam kampus," katanya.
Dalam hal ini, Amidi berkata mahasiswa UMS menjadi mangsa apabila mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih bagi membeli air bertapis untuk kegunaan harian.
"Ada yang menyewa di luar kampus, yang sewaannya lebih mahal dari kadar penginapan di dalam kampus. Melihat keadaan ini, Suara Mahasiswa telah menghantar surat kepada NC UMS menggesa agar kadar sewaan asrama diturunkan, sehingga masalah air ini diselesaikan sepenuhnya," katanya.
Kata beliau, secara dasarnya pihaknya beranggapan permintaan Suara Mahasiswa adalah tidak keterlaluan selain mereka juga mengakui bantuan RM 7 juta daripada Kerajaan Persekutuan tidak begitu jelas kesannya dalam menyelesaikan masalah bekalan air.
"Di akhir pertemuan itu, saya menjelaskan bahawa pihaknya menyokong usaha mahasiswa untuk menyedarkan masyarakat tentang keburukan rasuah. Mereka juga bersetuju dengan pendirian saya yang tidak bersetuju dengan tindakan mereka membakar imej karikatur Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kami akan terus berhubung bagi memastikan perjuangan mahasiswa tidak luntur ditelan zaman," katanya.









Comments