Keadaan di lokasi selamat, mangsa dipindah ke PPS
- Redzuan Shamsudin
- Apr 1
- 2 min read
Updated: Apr 2

Keadaan di lokasi kebocoran paip gas yang menyebabkan berlaku kebakaran dalam radius beberapa puluh meter di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor dianggap selamat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meninjau ke tempat kejadian petang tadi berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan oleh pasukan bomba dan penyelamat serta agensi kerajaan yang lain dalam menangani kejadian dan mangsa.
"Saya datang bersama MB (Menteri Besar Selangor), Petronas, polis dan bomba, majlis perbandaran untuk meninjau perkembangan terkini. Puncanya memerlukan sedikit masa, biar penyelidikan, siasatan yang rapi.
"Keduanya, keutamaan adalah keselamatan. Pihak bomba, terima kasih kepada seluruh jentera yang bertindak cepat, dan laporan daripada polis pun segera. Kerjasama ini telah membantu Petronas dan Kerajaan Negeri untuk ambil tindakan segera.
"Keutamaan kita sekarang adalah keselamatan. Nampak setakat ini terkawal, sebab itu saya pilih untuk pergi sendiri ke tempat itu untuk membuktikan bahawa (keadaan) selamat," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan kebakaran di premis persedirian yang telah dipadamkan sepenuhnya.
Isu kedua, kata PM adalah untuk meredakan tekanan yang dihadapi penduduk di kawasan perumahan terbabit.
Katanya, terdapat beberapa rumah yang musnah sama sekali dan sebahagian lain mengalami kerosakan serius, juga mangsa yang tercedera.
"Jadi apa langkah kita ambil dengan kerjasama Kerajaan Negeri, (ialah) menyediakan PPS (Pusat Pemindahan Sementara) tapi itu langkah sementara. Rumah-rumah ini, dari perbincangan kita dengan KPKT, Kerajaan Negeri dan Petronas, tidak mungkin dapat dipulihkan dalam masa yang terlalu singkat.
"Jadi sekarang ini, Petronas dengan seluruh pasukan Kerajaan sedang berbincang bagaimana kita mampu mengambil tindakan yang sementara tapi agak munasabah kerana bila ambil masa setahun (pemulihan penuh), dia tak macam banjir yang kadang-kadang seminggu, dua minggu (boleh pulang ke rumah)," katanya.
Selain itu, PM berharap penduduk yang kehilangan harta benda akibat kebakaran tidak bimbang kerana tanggungjawab memulihkan kawasan perumahan atau mengganti harta yang mengalami kemusnahan akan dipikul sepenuhnya oleh kerajaan.
Comments