top of page

Keabsahan kerajaan Muhyiddin diragui, benarkan Usul Tidak Percaya



Keabsahan kerajaan pimpinan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin diragui sejak hari pertama beliau mengangkat sumpah jawatan pada 1 Mac 2020.


Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, keraguan majoriti yang dimilikki semakin memuncak apabila Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menghantar surat kepada Spekaer Dewan Rakyat mencadangkan usul Undi Tidak Percaya terhadap Muhyiddin.


"Majoriti dia tipis. Ada kata 3 ada kata 2 kerusi. Apabila Ahli Parlimen Gua Musang daripada sebelah kerajaan, penasihat Umno minta Usul Tidak Percaya dibentang (majoriti semakin diragui). Dia (Ku Li) bukan dari Pembangkang, dia kerajaan.


"Kalau Ahli Parlimen Gua Musang, satu daripada yang menyokong PM minta (Usul Tidak Percaya), ini bermakna beliau telah hilang kepercayaan.


"Kedua, apabila permohonan PM minta diisytihar darurat seluruh negara ditolak, saya menganggap dari segi politik ini satu tamparan.


"Jadi ikut konvensyen PM patut meletak jawatan. Ok, dia tak mahu letak jawatan tetapi keadaan sudah cukup menuntut Undi Tidak Percaya dibentangkan.


"PM mesti melihat tugas untuk mengetuai kerajaan ini bukan terletak atas bahu dia seorang. Ini urusan negara. Maknanya kerajaan lain boleh dibentuk, belanjawan boleh diteruskan, negara ini boleh diselamatkan daripada kerajaan tidak stabil," kata Hassan kepada Suara Keadilan.


Menurut Hassan lagi, Usul Tidak Percaya penting kerana Muhyiddin bukan menang melalui Pilihan Raya Umum (PRU) yang jelas sahih majoriti dan tidak dipertikaikan sesiapa.


Pelantikan Muhyiddin sebagai PM sebaliknya tidak ditunjukkan majoriti secara Akuan Berkanun atau sebagainya yang diiktiraf Perlembagaan.


Oleh itu, beliau perlu menunjukkan majoriti dalam Dewan Rakyat melalui Undi Percaya atau Tidak Percaya.


"Apabila seseorang itu dilantik tetapi lantikan beliau bukan hasil PRU, daripada manuever politik, jatuhkan Pakatan Harapan melalui gabungkan pelbagai parti maka dari segi keabsahan kerajaan ini dipertikaikan.


"Memang dari segi Perlembagaan, Agong di atas kuasa baginda boleh melantik Ahli Parlimen yang memperolehi kepercayaan terbanyak ahli dewan. Tetapi PM yang dilantik dengan majoriti tidak jelas itu kena menghormati proses demokrasi, iaitu bersedia untuk dinilai.


"Pada bulan Julai lagi ada Usul Tidak Percaya yang dibawa oleh Ahli Parlimen Langkawi. Jadi PM telah lepas peluang (membuktikan majoriti).


"Beliau perlu hadapi usul itu dan kalau lulus dia tiada masalah. Menang satu kerusi tetap majoriti. Tetapi usul itu dielak-elak. Daripada satu usul sekarang ada 25 Usul Tidak Percaya dan 2 Usul Percaya," katanya lagi.


Mengulas mengapakah Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai peruntukan khusus memecat PM, Hassan berkata, demokrasi westminister menganggap ahli politik sama bermaruah seperti di negara bekas penjajah, British. PM yang hilang majoriti memahami tiba masanya untuk pergi.


"Memang Perlembagaan negara ada peruntukan bila PM hilang majoriti maka perlu letak jawatan. Tetapi tidak ada peruntukan di mana yang di-Pertuan Agong boleh memecat PM kerana Perlembagaan digubal waktu itu memahami konvensyen, PM tidak degil. Bila sudah tidak ada sokongan, turun. Tidak menyusahkan Agong atau negara.


"Ini yang diamalkan di negara-negara demokrasi berparlimen yang telah matang. Tetapi PM yang ada sekarang nampaknya liat. Tak nak turun," katanya sinis.


Muhyiddin akan membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November. Ketakutan pentadbiran beliau, sekiranya belanjawan itu tidak lulus maka PM akan dipaksa meletak jawatan.


Bagaimanapun, beliau diselamatkan oleh titah Yang di-Pertuan Agong meminta semua Ahli Parlimen meluluskan belanjawan dalam keadaan negara menghadapi pandemik Covid 19.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page