
Perbelanjaan pusat penyelidikan MIMOS di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang baru-baru ini mendapat teguran di dalam Laporan Ketua Audit Negara mendapat perhatian Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya.
Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam pertanyaannya kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, terdapat baki peruntukan yang tidak jelas dibelanjakan oleh MIMOS sepanjang Rancangan Malaysia (RMK) ke 10.
"Minta Menteri Sains Teknologi dan Inovasi menyatakan, berikutan pendedahan Ketua Audit Negara baru-baru ini, berkait penyalahgunaan dana kerajaan oleh MIMOS Berhad, boleh atau tidak diberi pencerahan apakah yang sebenarnya berlaku dan ke manakah perbelajaan yang diperuntukkan dalam RMK 10 serta RMK 11 telah dibelanjakan.
"Serta bagaimana MIMOS boleh melaporkan pencapaian 100% untuk RMK 10, sedangkan mengikut laporan audit MIMOS hanya membelanjakan RM53.05 juta untuk membeli peralatan aset untuk R & D, berbanding jumlah dana yang diberi RM124.22 juta. Ke manakah baki lebih RM100 juta dibelanjakan?" katanya dalam sesi perbahasan sebelah pagi di Dewan Rakyat.
Dalam jawapannya, Khairy memberi tahu kementerian menggunakan dana untuk membiayai 8 kajian R & D dalam teknologi tinggi yang merintis ilmu baharu.
Perbezaan RM100 juta pula kerana digunakan untuk membayar gaji kakitangan penyelidik yang dilantik secara kontrak serta membayar khidmat perundingan dan profesional.
Comments