top of page

Ke mana hala tuju politik N Sembilan selepas UMNO tarik sokongan?

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Percaturan politik di Negeri Sembilan memasuki fasa genting apabila usaha menukar kerajaan bukan sahaja berkisar soal angka, malah menyingkap persoalan prinsip dan konsistensi pendirian UMNO negeri itu.


Menurut seorang warga maya, meskipun di atas kertas UMNO Negeri Sembilan bersama Perikatan Nasional (PN) mempunyai angka mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu, namun mereka tetap perlu menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bagi memohon perkenan pelantikan Menteri Besar.


"Di situ masalah besarnya. Bukankah sebelum ini mereka juga yang menyerang Datuk Seri Aminuddin Harun kononnya tidak hormat adat kerana mempertahankan kedudukan Yang di-Pertuan Besar sedia ada sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah?


"Jadi sekarang UMNO Negeri Sembilan hendak menghadap siapa? Kalau menghadap Tuanku Muhriz, maknanya UMNO Negeri Sembilan sendiri mengiktiraf bahawa Tuanku Muhriz masih Yang di-Pertuan Besar yang sah.

"Maka apa salah Aminuddin Harun mempertahankan perkara yang sama sebelum ini? Tapi kalau mereka tidak iktiraf Tuanku Muhriz, siapa pula Yang di-Pertuan Besar yang mereka iktiraf untuk perkenan kerajaan baharu?" soal beliau.


Justeru katanya, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias perlu menjawab persoalan itu dengan jelas.


Katanya, jangan ketika mahu menyerang Menteri Besar isu adat dijadikan sandaran, tetapi apabila cuba mengambil alih kuasa, prinsip yang sama diketepikan.


"Jangan masa hendak serang MB, jerit soal adat. Tapi bila hendak rampas kuasa, adat dilipat masuk poket.


"Ini bukan soal cukup 19 kerusi semata-mata. Ini soal maruah politik, konsistensi pendirian dan keberanian berdepan dengan kata-kata sendiri.


"Kalau dulu tuduh orang tidak hormat adat, hari ini jangan pula datang mengetuk pintu istana yang sama semata-mata kerana mahu jadi kerajaan.


"Kalau itu juga dibuat, rakyat akan nampak jelas (iaitu) masalah UMNO Negeri Sembilan bukan tidak faham adat. Masalahnya muka terlalu tebal," dakwa warga maya itu lagi.


Kebelakangan ini, suhu politik di negeri Adat Perpatih itu memuncak apabila semua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan sebulat menyuarakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Aminuddin.


Jalaluddin berkata, keputusan dibuat itu adalah susulan krisis adat yang berlaku ketika ini.


Pilihan Raya Negeri ke-15 pada 2023 menyaksikan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN membentuk kerajaan di Negeri Sembilan apabila menguasai 31 kerusi DUN.


Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, PH memenangi 17 kerusi, BN menguasai 14 kerusi, manakala PN dengan lima kerusi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page