
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam proses akhir mengumpul data berkenaan keberadaan kanak-kanak di depot tahanan seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata melalui data yang dikumpul itu pihaknya akan membentangkan kertas kerja kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat mengenai usaha kerajaan untuk membawa keluar kanak-kanak dari depot tahanan imigresen.
"Buat masa ini terdapat seramai 1,030 kanak-kanak di 20 depot tahanan imigresen melibatkan 579 kanak-kanak lelaki dan 451 kanak-kanak perempuan.
"Daripada jumlah berkenaan, 351 mendiami depot tahanan bersama penjaga manakala 679 lagi tanpa penjaga," katanya pada satu program di Dept Tahanan Imigresen Semenyih pada Sabtu.
Saifuddin turut menjelaskan, dalam melengkapkan kertas kerja berkenaan, KDN turut mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dan pakar antaranya Pengasas MERCY Malaysia Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar.
Menyentuh mengenai kebajikan kanak-kanak yang berada di depot tahanan imigresen, Saifuddin menjelaskan pihaknya sentiasa memastikan golongan itu mendapat akses kesihatan dan menerima rawatan sewajarnya sekiranya sakit.
Selain itu, kanak-kanak terbabit juga diberikan akses pendidikan melalui kelas dikendalikan kakitangan depot tahanan imigresen secara sukarela.
"Setakat ini, terdapat lima depot tahanan imigresen yang menyediakan kelas bagi kanak-kanak ini antaranya di sini (Depot Tahanan Imigresen Semenyih), Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas di Johor dan Depot Tahanan Imigresen Belantik di Kedah," katanya lagi.