top of page

KDN tunggu surat rasmi sebelum laksana tahanan rumah Najib

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
42 minutes ago
2 min read
DS Saifuddin dalam sidag media selepas melawat lokasi kanak kanak lemas di Taman Desa Kayangan, Kulim
DS Saifuddin dalam sidag media selepas melawat lokasi kanak kanak lemas di Taman Desa Kayangan, Kulim

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara masih menunggu surat rasmi daripada Lembaga Pengampunan berhubung keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang pemakluman rasmi berhubung keputusan berkenaan setakat ini.


"Di KDN, di mana Jabatan Penjara di bawahnya, pertama, kita akan menunggu surat rasmi memaklumkan kepada kita tentang keputusan oleh Lembaga Pengampunan semalam. Sekarang ini kita belum terima apa-apa.


"Daripada pemakluman itu nanti, barulah kita jelas apakah tindakan selanjutnya yang akan kita ambil, tindakan ke arah melaksanakan keputusan tersebut sesuai dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada," katanya kepada wartawan selepas melawat keluarga kanak kanak mati lemas terjatuh ke dalam longkang di Taman Desa Kayangan, Kulim, Kedah.


Menurut beliau, pemakluman tersebut lazimnya disampaikan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri yang bertindak sebagai sekretariat kepada Lembaga Pengampunan.


Selain itu, kata Saifuddin, KDN juga perlu meneliti kandungan surat berkenaan bagi mengetahui sama ada keputusan itu menetapkan lokasi tahanan rumah Najib atau menyerahkan perkara tersebut kepada Jabatan Penjara.


"Kita akan tengok dalam keputusan Lembaga Pengampunan itu sama ada dia tetapkan premis ataupun dia serahkan kepada Jabatan Penjara. Sebab itu saya kata saya nak tengok dulu surat itu," katanya.


Beliau menjelaskan, tahanan rumah bermaksud Najib tidak lagi menjalani hukuman di Penjara Kajang sebagaimana sekarang, sebaliknya berada di premis lain tertakluk kepada proses dan ketetapan yang ditentukan.


"Maksudnya sekarang ini tempoh Datuk Seri Najib menjalani hukuman penjara. Tahanan rumah bermaksud beliau tidak berada dalam penjara tetapi akan berada di satu premis lain dan tentu ada proses-prosesnya.


"Sebab itu, untuk lebih selamat, lebih baik komen saya kepada media adalah sehingga surat pemakluman rasmi sebab kita nak tengok apakah ada lagi keputusan-keputusan yang telah dipertimbangkan, dibincang, kemudian dibuat keputusan," katanya.


Mengulas keputusan terdahulu, Saifuddin berkata Lembaga Pengampunan sebelum ini memaklumkan pengurangan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.


Beliau berkata, berdasarkan keputusan itu, Najib dimaklumkan bahawa tarikh pembebasan ialah 23 Ogos 2028 sekiranya denda RM50 juta dibayar, manakala jika denda itu tidak dibayar, tarikh pembebasan ialah 23 Ogos 2029.


"Jadi, keputusan semalam yang dilaporkan meluas oleh media ialah keputusan tahanan rumah jika sekiranya RM50 juta denda itu dibayar.


"Apa pun, di peringkat Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara, kita menunggu keputusan rasmi itu yang akan disampaikan secara hitam putih sepertimana keputusan Lembaga Pengampunan terdahulu disampaikan kepada kita," katanya.


Pada 18 September, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberi perkenan pengampunan bersyarat kepada Najib, membolehkan baki hukuman dijalani di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.


BHEUU turut memaklumkan pengampunan bersyarat itu boleh dibatalkan sekiranya Najib gagal mematuhi syarat yang ditetapkan, dengan baki hukuman perlu dijalani semula di penjara.


Saifuddin berkata, semua butiran termasuk sama ada terdapat kuasa tambahan yang diberikan kepada Jabatan Penjara hanya akan diketahui selepas surat rasmi berkenaan diterima.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page