KDN runding kadar baharu elaun anggota RELA


Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited untuk terus mengadakan rundingan dengan Kementerian Kewangan (MoF) bagi memuktamadkan kadar elaun baharu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kadar sedia ada sebanyak RM8 sejam dilihat tidak lagi sepadan dengan kadar gaji minimum semasa.
Jelasnya, dengan kadar sedia ada, anggota RELA yang bertugas selama lapan jam sehari untuk tempoh 24 hari hanya menerima RM1,536, iaitu masih di bawah kadar gaji minimum RM1,700.
"Kalau mereka bertugas 12 jam, RM8 darab 12 ialah RM96. RM96 darab 24 hari, lebih sikit sahaja daripada kadar gaji minimum," katanya dipetik laporan media.
Menerusi ucapannya, beliau turut mengarahkan Ketua Setiausaha KDN serta Timbalan Ketua Setiausaha untuk meneruskan rundingan berkenaan tanpa mengambil masa terlalu panjang.
"Mulakan, jangan ambil masa panjang, sebaik-baiknya tahun kewangan yang terdekat ini laksanakan," katanya.
Mengulas mengenai kadar upah yang baharu dicadangkan, Saifuddin menjelaskan kadar baharu perlu ditetapkan dalam julat yang munasabah.
Pada perhimpunan tersebut, Saifuddin yang juga Timbalan Presiden KEADILAN mengumumkan pemberian elaun kepada anggota RELASIS di institusi pengajian tinggi.
Pelaksanaan elaun RELASIS jelasnya tidak memerlukan peruntukan kewangan tambahan yang memerlukan keputusan Jemaah Menteri kerana menggunakan peruntukan sedia ada serta peruntukan tahun berikutnya.




Comments