
Kementerian Dalam Negeri (KDN) bakal merangka jalan penyelesaian dalam menangani isu keselamatan dan ketenteraman awam yang berlarutan lama di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementeriannya memberi perhatian serius serta komitmen penuh bagi mengatasi perkara berkenaan.
Katanya, pada peringkat awal satu pertemuan telah diadakan bersama Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bagi membincangkan hal tersebut.
"Saya memandang tinggi keprihatinan dan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan hal-hal melibatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta negara.
"Pagi tadi saya bersama-sama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi memberikan taklimat kepada Perdana Menteri bagi hal melibatkan kesesakan tambak Johor, urusan keimigresenan, pengurusan pekerja asing, ancaman keselamatan sempadan serta beberapa perkara lagi terkait keselamatan dan ketenteraman awam," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
April lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati orang ramai tidak sewenang-wenangnya memuat naik gambar, video sensitif dan seumpamanya yang melangkaui aspek ruler (pemerintah), religion (agama) dan race (bangsa) sehingga mencetuskan ketenteraman awam.
Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin perkara seumpama itu boleh menjurus kepada fitnah dan menyakiti hati seseorang sehingga boleh mengundang kepada kemarahan masyarakat serta menimbulkan kekacauan di negara ini.