KDN rangka NAPTIP 4.0, perkukuh perangi pemerdagangan orang
- Suara Keadilan
- 23 minutes ago
- 1 min read

Kerajaan Perpaduan terus memperkukuh komitmen terhadap agenda hak asasi dan keadilan sosial melalui perancangan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang (NAPTIP 4.0) 2026–2030.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar), berkata pelan baharu itu merupakan kesinambungan kepada kejayaan NAPTIP 3.0 dan akan memberi tumpuan kepada pengukuhan pengesanan mangsa dalam sektor berisiko tinggi, siasatan dan pendakwaan termasuk terhadap penjawat awam, serta memperluas akses bantuan jurubahasa dan pengurusan kes.
"Pendekatan kali ini lebih menyeluruh, dengan penekanan terhadap pemerkasaan peranan Victim Assistance Specialist di Sabah dan Sarawak, integrasi data, digitalisasi penguatkuasaan serta standardisasi perlindungan mangsa di seluruh negara," katanya dipetik.
Terdahulu, Saifuddin menghadiri sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia (WDAT) di Putrajaya pada Isnin.
Sementara itu menurutnya, pelaksanaan NAPTIP 3.0 telah membuahkan hasil apabila Malaysia mengekalkan penarafan Tahap 2 (Tier 2) dalam Laporan Pemerdagangan Orang 2025 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS).
"Penarafan itu mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha kerajaan memperkukuh mekanisme pengawalseliaan, memutuskan rangkaian sindiket, meningkatkan ketelusan dan memperkukuh pemulihan berasaskan mangsa.
"Kerajaan kekal teguh dengan prinsip zero tolerance terhadap pemerdagangan orang — satu jenayah yang menafikan maruah dan kebebasan manusia," katanya.





