top of page

KDN perhebat penguatkuasaan, dapatkan semula dana bocor

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Feb 1
  • 1 min read

DS Saifuddin berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Fasa 2, daerah Kulim
DS Saifuddin berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Fasa 2, daerah Kulim

Oleh: Azuan Ab Rahman


Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan akan mempergiat penguatkuasaan bagi mendapatkan semula lebih banyak dana kerajaan yang hilang akibat ketirisan dan penyelewengan, selaras peringatan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam tempoh dua tahun lalu kerajaan telah berjaya memulihkan RM15.5 bilion sekaligus membuktikan penguatkuasaan yang konsisten dan berintegriti mampu menghasilkan pulangan besar kepada negara.


"Perdana Menteri menekankan bahawa RM15.5 bilion yang diselamatkan itu hanya sebahagian daripada jumlah ketirisan sebenar.


"Jika penguatkuasaan dipertingkatkan, jumlah dana yang boleh diperoleh semula jauh lebih besar," katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Fasa 2 daerah Kulim pada Sabtu.


Sementara itu tambah Saifuddin, kerajaan mahu memastikan setiap agensi penguatkuasa menilai sendiri keupayaan mereka untuk memikul tanggungjawab atau memberi laluan kepada pihak yang lebih berwibawa.


Pimpinan tertinggi setiap agensi diberi tempoh seminggu untuk mengesahkan kesediaan mereka memikul tanggungjawab atau memilih untuk beralih ke jawatan lain, selaras dengan amanat Perdana Menteri baru-baru ini.


"Jika seseorang merasakan dirinya tidak lagi berupaya memenuhi aspirasi kerajaan, maka keputusan yang berani perlu dibuat. Itu adalah mesej Perdana Menteri yang kami sambut dengan sifat terbuka di KDN," tambahnya.


Perdana Menteri menerusi amanat bersama Ketua-Ketua Jabatan/Agensi Penguatkuasaan minggu lalu memberi amaran keras kepada pimpinan tertinggi agensi penguatkuasa agar laksanakan pembaharuan atau bersedia diturunkan pangkat ke jawatan lebih rendah susulan masih wujud kelemahan serius dalam aspek penguatkuasaan.


Tegasnya, meskipun kerajaan mencatat pelbagai kejayaan dari segi ekonomi dan pemerintahan sepanjang hampir tiga tahun pentadbiran, ruang untuk melakukan penambahbaikan masih luas dan tidak boleh dipandang ringan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page