KDN muktamad hantar pulang 5,000 pelarian Myanmar
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Kerajaan memuktamadkan penghantaran pulang secara sukarela 5,000 pelarian Myanmar ke negara asal secara berperingkat dengan fasa pertama membabitkan 1,476 individu pada 29 September ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, program itu akan dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab dan mengikut prosedur yang dipersetujui bersama kerajaan Myanmar.
"Fasa pertama Program Penghantaran Pulang Secara Sukarela akan dilaksanakan pada 29 September 2026 melibatkan seramai 1,476 warga Myanmar yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan Republik Kesatuan Myanmar melalui Nota Diplomatik No. 649/47 01(2026) bertarikh 13 Ogos 2026," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut KDN, tarikh berkenaan dipersetujui dalam Mesyuarat Penyelarasan membabitkan KDN, Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pertahanan selepas mengambil kira keperluan logistik serta penyelarasan.
Ia berbeza daripada cadangan asal kerajaan Myanmar untuk melaksanakan penghantaran pada 28 Ogos.
"Proses penghantaran pulang akan menggunakan dua buah kapal perang dan sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar," katanya.
Bagi tahun ini, seramai 4,008 individu terutama etnik Rohingya akan dijalurkan kepada Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) manakala 5,000 individu lain menjalani proses penghantaran pulang secara sukarela ke Myanmar secara berperingkat.
Sehingga 15 Ogos lalu, terdapat 10,388 warga Myanmar di Depot Tahanan Imigresen namun KDN menegaskan jumlah itu merangkumi semua rakyat Myanmar yang ditahan dan tidak boleh dianggap keseluruhannya sebagai pelarian.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melaksanakan DPP bagi mengesahkan identiti, kewarganegaraan, status imigresen, tuntutan pelarian serta latar belakang keselamatan setiap individu.
Proses pendaftaran DPP bagi kumpulan itu dijangka selesai pada suku keempat tahun ini.
KDN berkata, strategi kerajaan menangani isu berkenaan dilaksanakan menerusi dua pendekatan iaitu rundingan diplomatik dengan Myanmar bagi memastikan pengambilan semula rakyatnya dilakukan secara berperingkat, teratur dan bertanggungjawab serta pendaftaran individu yang mendakwa sebagai pelarian dan pemohon suaka menerusi DPP.
"Data ini seterusnya dapat digunakan bagi tujuan pemantauan, penguatkuasaan serta perancangan pengurusan dan penyelesaian akhir, termasuk penghantaran pulang ke negara asal apabila keadaan mengizinkan.
"Kedua-dua cabang strategi ini perlu dilaksanakan secara serentak dan saling melengkapi," katanya.
Program DPP seterusnya akan diperluaskan kepada semua pendatang tanpa izin di luar Depot Tahanan Imigresen, termasuk pemegang kad UNHCR dan individu yang mendakwa sebagai pelarian.
"Pendaftaran tersebut akan diwajibkan bagi membolehkan Kerajaan memperoleh data biometrik dan maklumat peribadi yang lengkap serta tepat sebagai asas kepada pelaksanaan pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan demi kepentingan keselamatan negara," katanya.
Individu yang memenuhi syarat dan melepasi proses DPP akan diberikan Kad DPP sebagai dokumen pendaftaran yang membolehkan mereka tinggal sementara, tertakluk kepada syarat, kawalan dan pemantauan kerajaan.
KDN berkata, lebih 95 peratus pelarian di negara ini berasal dari Myanmar termasuk etnik Rohingya, Chin, Karen dan Mon, menyebabkan penyelesaian isu berkenaan tidak boleh dilakukan secara unilateral.
"Kerajaan MADANI sedang dan akan terus menggiatkan rundingan diplomatik secara langsung dengan Kerajaan Myanmar bagi memastikan proses penghantaran pulang dilaksanakan secara teratur, bermaruah dan dipersetujui oleh kedua-dua negara," katanya.
KDN turut menegaskan Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967 manakala pelaksanaan DPP tidak boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan atau penyertaan Malaysia kepada instrumen antarabangsa berkenaan.
"Pendekatan Kerajaan MADANI jelas dalam mengurus isu ini melalui nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras MADANI, namun ia mesti dilakukan secara terbuka, telus dan mengikut lunas undang-undang.
"Tiada lagi ruang untuk ketidaktentuan. Setiap tindakan mesti sah di sisi undang-undang dan boleh dipertanggungjawabkan oleh rakyat," katanya.




Comments