top of page

KDN, MINDEF terima peruntukan besar kukuh pertahanan, keselamatan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 10
  • 2 min read
ree

Oleh: Helmi Mohd Foad


Belanjawan 2026 menegaskan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keselamatan dan pertahanan negara dengan menyalurkan peruntukan besar kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).


Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan yang tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan negara memperuntukkan sebanyak RM21.7 bilion manakala KDN memperoleh RM21.2 bilion.


"Negara yang aman adalah asas kepada kemakmuran ekonomi. Dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu, kerajaan perlu memastikan benteng keselamatan kita sentiasa kukuh, bukan sahaja dalam bentuk aset ketenteraan tetapi juga keutuhan sosial rakyat," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.


Perdana Menteri berkata keseluruhan perbelanjaan di bawah komponen Ketenteraman Awam dan Pertahanan Negara itu menunjukkan keazaman kerajaan memastikan kedaulatan Malaysia terus terpelihara.


Anwar yang memetik karya klasik Zuo Zhuan berkata “dalam keadaan aman, fikirkan tentang bahaya”, falsafah itu dijadikan panduan mencerminkan prinsip kesiapsiagaan berterusan dalam strategi keselamatan negara.


Tambah beliau sebanyak RM6 bilion daripada jumlah tersebut diperuntukkan bagi penyelenggaraan serta perolehan aset pertahanan baharu.


"Dana ini akan digunakan bagi memperkukuh sistem pertahanan udara negara meliputi pelbagai keupayaan jarak," katanya.


Dalam masa sama, dua buah kapal Multi Role Support Ship (MRSS) baharu akan diperoleh untuk meningkatkan keupayaan logistik angkatan tentera manakala 10 buah kenderaan khas disediakan untuk Pasukan Malaysia (MALBATT) dalam misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ujarnya.


Selain itu, Anwar berkata kerajaan memperuntukkan RM1 bilion kepada KDN bagi mengukuhkan keupayaan agensi di bawahnya termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).


Peruntukan ini katanya melibatkan perolehan pesawat pengawasan maritim, bot ronda laju serta kenderaan operasi bagi mempertingkat rondaan dan kecekapan logistik agensi keselamatan.


Bagi memperkukuh infrastruktur keselamatan, sebanyak RM1.5 bilion disalurkan bagi projek pembinaan dan naik taraf fasiliti utama di seluruh negara antaranya pembinaan Kompleks APMM Negeri di Tok Bali, Kelantan ; Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Balai Polis Lawin di Perak.


Di samping itu, Pusat Latihan Artileri di Kem Syed Sirajuddin, Gemas akan dinaik taraf, manakala tiga pos baharu Pasukan Gerakan Am (PGA) akan diwujudkan di Selangor meliputi Sungai Nibong, Sungai Banting dan Sekinchan.


Kemudahan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Sungai Tujoh, Sarawak turut dinaik taraf bagi memperkukuh keselamatan sempadan.


Bagi mengukuhkan keselamatan di perairan Pantai Timur Sabah, Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah akan digantikan dengan sebuah Multi Purpose Command Platform baharu yang dijangka mula beroperasi selepas Jun 2026.


Platform tersebut akan berfungsi sebagai pusat kawalan utama bagi memantau aktiviti perairan dan memperkukuh kawalan keselamatan maritim negara, kata beliau.


Perdana Menteri berkata kerajaan turut memperkukuh peranan Agensi Kawalan dan Perlintasan Sempadan Malaysia (AKPS) dengan peruntukan sebanyak RM45 juta bagi melaksanakan tanggungjawab penting mengawal sempadan negara.


"Sejak penubuhannya, AKPS berjaya mengekang kemasukan lebih 10,000 warga asing tanpa izin dan menggagalkan cubaan menyeludup pelbagai barangan terlarang," katanya.


Dalam konteks keselamatan sosial, kerajaan turut menumpukan perhatian terhadap isu “jenayah senyap” seperti buli di sekolah, universiti, tempat kerja dan alam maya.


Menurut Anwar kerajaan bertekad memutuskan rantaian kezaliman ini melalui pendidikan empati serta penguatkuasaan undang-undang yang tegas tanpa kompromi.


"Kerajaan akan terus memperkukuh barisan keselamatan negara agar Malaysia kekal menjadi sebuah negara yang aman, berdaulat dan disegani," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page