top of page

KDN, KSM selamatkan 93 pekerja Bangladesh diabaikan majikan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Feb 27, 2024
  • 2 min read


Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) berjaya menyelamatkan seramai 93 pekerja warga Bangladesh di Cheras, Kuala Lumpur yang diabaikan oleh majikan sebagaimana dilaporkan media pada Khamis lalu.


Mereka diselamatkan dalam satu operasi dijalankan oleh Jabatan Imigresen Putrajaya dengan disertai pegawai Pejabat Strategik Nasional Majlis Anti-Pemerdagangan Orang (NSO MAPO).


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dalam kenyataan bersama berkata siasatan mendapati pekerja berkenaan terbiar tanpa disediakan pekerjaan dan penginapan yang kondusif oleh majikan mereka.


"Majikan juga dilaporkan gagal menjaga kebajikan pekerja-pekerja ini dari segi tempat tinggal dan makan minum. Mengikut rekod, majikan yang telah membawa mereka masuk pada November lalu merupakan syarikat pembinaan Ricoler Sdn Bhd.


"Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia juga telah melaksanakan operasi siasatan ke atas majikan melibatkan undang-undang perburuhan," kata kenyataan itu malam ini.


Kata kenyataan itu, kesemua mangsa yang diselamatkan dibawa ke Jabatan Imigresen Putrajaya untuk urusan dokumentasi sebelum dibawa kepada majistret untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Interim.


Melalui hasil operasi dan siasatan, kata kenyataan itu, tindakan tegas akan diambil oleh kedua-dua kementerian ke atas syarikat berkenaan antaranya melibatkan kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 kepada majikan kerana gagal menyediakan kemudahan penginapan kepada pekerja.


Selain itu, katanya tindakan juga diambil di bawah Akta Kerja 1955 kerana kegagalan membayar gaji kepada pekerja, menyenaraihitamkan syarikat yang terbabit daripada menggajikan pekerja asing pada masa hadapan dan membekukan baki kuota yang diperolehi syarikat terbabit.


Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ANTIPSOM) 2007 dan Akta Pasport 1966 kerana majikan dipercayai memegang pasport pekerja.


"KDN dan KSM juga memberi amaran tegas kepada semua majikan yang menggajikan pekerja asing agar sentiasa menjaga kebajikan pekerja serta mematuhi lunas perundangan negara," tegas kenyataan itu.


Laporan media sebelum ini menyebut, lebih 100 warga Bangladesh tidak mempunyai pekerjaan sejak tiba di Malaysia pada November.


Pekerja terbabit mendakwa, mereka membayar yuran pengambilan antara RM19,500 hingga RM21,700 bagi mendapatkan pekerjaan di Malaysia dengan dijanjikan kemudahan asas baik dan dibayar gaji tinggi.


Laporan itu juga menyebut, pekerja terbabit tinggal dalam keadaan sempit dengan hanya satu tandas dikongsi lebih 100 pekerja.


Mereka juga mendakwa hanya makan makanan ala kadar kebiasaannya nasi, kacang dal dan kentang putar dengan seorang pekerja mendakwa tidak diberi makan hingga empat hari apabila bertanya mengenai perkembangan pekerjaan mereka.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page