KDN kecam penahanan sukarelawan GSF, gesa demo anti-Israel tertib - Saifuddin
- Suara Keadilan
- 4 days ago
- 2 min read

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang memintas serta menahan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza di perairan antarabangsa, yang turut disertai rakyat Malaysia.
Dalam kenyataan rasmi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) menegaskan penahanan tersebut merupakan pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan nilai kemanusiaan sejagat.
"Kapal-kapal yang membawa sukarelawan dan bantuan asas untuk rakyat Palestin seharusnya dilindungi, bukannya dihalang dengan kekerasan," jelas dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyatakan solidariti bersama rakyat Malaysia yang menuntut pembebasan segera aktivis dan sukarelawan flotila.
"Solidariti saya bersama dengan desakan dan sokongan rakyat Malaysia yang menuntut pembebasan segera aktivis dan sukarelawan yang menyertai misi ini.
"Perhimpunan aman yang dianjurkan oleh sebahagian rakyat Malaysia adalah hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan ia membawa suara solidariti kita terhadap isu kemanusiaan di Palestin," katanya.
Bagaimanapun, mengenai perhimpunan aman di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat pada 2 Oktober lalu, beliau menegur tindakan segelintir pihak yang cuba menghalang tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan tugas menjaga keselamatan hingga mencederakan anggota bertugas.

"Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang cuba menghalang anggota PDRM menjalankan tugas semasa perhimpunan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat.
"Anggota PDRM berada di lapangan untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam, namun ada pihak yang bertindak melampaui batas sehingga mencederakan anggota polis.
"Hak untuk berhimpun secara aman mesti dilaksanakan dengan tertib, berhemah dan mematuhi undang-undang, tanpa menjejaskan keselamatan awam atau menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi," tegas kenyataan itu.
Saifuddin menyatakan keyakinan bahawa PDRM akan terus melaksanakan tanggungjawab mengikut undang-undang demi menjaga keselamatan rakyat dan ketenteraman awam. Orang ramai juga diseru supaya menghormati undang-undang serta memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
Dalam pada itu, katanya, KDN bersama rakyat Malaysia menuntut agar sukarelawan GSF, terutama dari Sumud Nusantara dibebaskan segera oleh rejim Israel kerana mereka adalah orang awam yang tidak bersenjata, hadir hanya dengan misi kemanusiaan kie Gaza.
"KDN bersama suara rakyat Malaysia menggesa agar semua aktivis dan sukarelawan, khususnya rakyat Malaysia, dibebaskan segera tanpa syarat," ujarnya lagi.
Comments