KDN kaji tubuh Pusat Integrasi Jenayah Siber, perkasa penguatkuasa guna AI
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 2 min read

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji penubuhan Pusat Integrasi Jenayah Siber (CCFC) sebagai langkah memperkukuh keupayaan negara menangani ancaman jenayah dalam talian yang kian kompleks termasuk menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kajian berhubung penubuhan pusat itu kini memasuki fasa kedua yang memberi tumpuan kepada model tadbir urus dan model operasi.
"Kajian ini diteruskan. Kita kini sedang mengkaji penubuhan Cyber Crime Fusion Centre (CCFC) diketuai Prof Ts Dr Madihah Mohamad Saudi dari USIM dengan kerjasama CSAM.
"Kajian itu kini berada pada fasa kedua iaitu Model Tadbir Urus dan Model Operasi," katanya ketika berucap merasmikan 6th International Cyber Resilience Conference (CRC 2026) di Bangi hari ini.
Menurut Saifuddin, persidangan berkenaan juga menyediakan platform untuk meneliti aspek tadbir urus, operasi dan kesiapsiagaan teknikal CCFC.
Usaha itu merupakan kesinambungan pendekatan KDN menerusi Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) dalam menggabungkan penyelidikan akademik dengan keperluan dasar serta penguatkuasaan, katanya.
Pada 2025, IPSOM menyelesaikan Kajian Pelan Tindakan Menangani Ancaman Jenayah Siber Negara dengan kerjasama USIM, UKM, UPM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Cyber Security Academia Malaysia (CSAM).
Saifuddin menegaskan penyelidikan berkaitan keselamatan siber tidak boleh sekadar berakhir sebagai penerbitan akademik, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada dasar dan tindakan penguatkuasaan.
"Penyelidikan mesti melakukan lebih daripada sekadar memenuhi jurnal. Ia mesti membentuk dasar. Ia mesti memperkukuh penguatkuasaan. Ia mesti melindungi rakyat," katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata Malaysia perlu meningkatkan kemahiran tenaga kerja secara besar-besaran bagi memastikan negara mempunyai barisan hadapan yang mampu menghadapi ancaman jenayah siber baharu khususnya yang menggunakan AI.
Menurut beliau perkembangan teknologi itu memerlukan bukan sahaja pegawai penguat kuasa menguasai penggunaan AI, malah pendakwa raya dan hakim perlu memahami bukti digital.
"Modal insan adalah barisan pertahanan pertama kita. Kita mesti meningkatkan kemahiran rakyat kita pada skala nasional.
"Pegawai kita mesti dilatih menggunakan alat AI. Pendakwa raya dan hakim kita mesti memahami bukti digital. Agensi kita memerlukan saintis data dan penganalisis, bukan hanya detektif," katanya.
Saifuddin berkata universiti juga perlu melahirkan lebih ramai graduan yang mempunyai kemahiran berkaitan keselamatan siber manakala latihan serta peningkatan kemahiran perlu dilakukan secara berterusan kerana teknologi berkembang dengan pantas.
Katanya keperluan itu semakin mendesak apabila penjenayah kini menggunakan AI untuk meningkatkan skala serta kecanggihan kegiatan mereka termasuk menghasilkan mesej penipuan, mengklon suara dan mencipta video deepfake.
"Teknologi sama juga membolehkan sindiket mengendalikan ribuan perbualan penipuan secara serentak selain mengenal pasti kelemahan sistem untuk dieksploitasi," ujarnya.
Bagaimanapun, pemangku Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata teknologi AI juga boleh dimanfaatkan agensi penguat kuasa bagi meningkatkan keupayaan mereka memerangi jenayah berkenaan.
Katanya perkara itu termasuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan corak penipuan, menganalisis jutaan transaksi, memproses bukti digital, mengesan deepfake serta menjejaki wang yang dicuri.
"Ancaman jenayah siber tidak mampu ditangani oleh sebuah agensi secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh kerajaan, industri, ahli akademik, penyedia teknologi dan rakan antarabangsa," ujarnya.




Comments