Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneroka penggunaan kaedah berteraskan teknologi dan inovasi termasuk penggunaan dron serta “artificial intelligence” (AI) dalam penugasan mengawal sempadan negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata aspek kawalan keselamatan sempadan tidak boleh ditumpukan kepada isu pagar sahaja kerana ia turut melibatkan beberapa aspek lain selain kehadiran fizikal pasukan keselamatan.
Langkah menggunakan kaedah berteraskan teknologi dan inovasi juga tegasnya dilihat sebagai langkah tepat mengatasi kekangan pembinaan pagar sempadan baharu antara Malaysia-Thailand berikutan jaraknya terlalu panjang.
"(Tumpuan di KDN) bukan hanya (libatkan) soal pemasangan pagar sempadan (tetapi) ruang (penggunaan) kepada inovasi dan teknologi.
"(Contohnya adalah seperti penggunaan) dron kawalan, (malahan) sekarang (ini) ada kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi strategik dan aspek dron (yang saya sebutkan tadi) itu antara (teknologi) yang (kita) terokai," katanya.
Saifuddin berkata demikian pada sidang media selepas lawatan Hari Raya Aidilfitri dan penyampaian sumbangan di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (Martak PGA) Bukit Kayu Hitam semalam.
Sementara itu tambah Saiffudin, pihak kementerian cenderung menggunakan teknologi terkini kerana didapati mampu membantu pasukan keselamatan menangani kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
"Ini kerana penggunaan CCTV dapat catat sebarang bentuk perkara mencurigakan yang mana rakaman itu menjadi maklumat sangat bernilai kepada pihak berkuasa dalam merancang aspek kawalan sempadan negara," katanya lagi.
Comments