top of page

KDN: Dokumen perjalanan Israel tidak diiktiraf, kawalan sempadan diperketat

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 day ago
  • 2 min read

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan dokumen perjalanan yang dikeluarkan oleh Israel tidak diiktiraf bagi tujuan kemasukan ke Malaysia sekali gus menegaskan semula pendirian kerajaan yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.


KDN dalam kenyataan berkata, pendirian itu selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI yang ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung sokongan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin serta kepentingan mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.


"Sehubungan itu, dokumen perjalanan yang dikeluarkan oleh Israel tidak diiktiraf bagi tujuan kemasukan ke Malaysia selaras dengan dasar Kerajaan Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara berkenaan," kata kenyataan itu.


Isu kemasukan warga Israel ke Malaysia tercetus bulan ini susulan kontroversi membabitkan operasi Network School di Forest City, Johor selepas timbul dakwaan terdapat rakyat Israel menyertai komuniti teknologi itu dengan menggunakan pasport negara kedua.


Susulan dakwaan tersebut, Kerajaan Johor menggesa siasatan dijalankan manakala kerajaan Persekutuan turut mengarahkan agensi berkaitan menyiasat perkara itu secara menyeluruh.


Laporan media tempatan menyebut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan berkompromi dengan pendirian negara yang tidak mengiktiraf Israel dan memberi amaran mana-mana rakyat Israel yang dikesan berada di negara ini akan diusir serta-merta jika siasatan mengesahkan kehadiran mereka.


Menurut kenyataan itu, KDN akan terus memastikan semua aspek berkaitan kawalan sempadan, pemeriksaan imigresen, penguatkuasaan undang-undang serta keselamatan dalam negeri dilaksanankan secara tegas, profesional dan tanpa kompromi.


"Jabatan Imigresen terus menguatkuasakan sepenuhnya semua peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155), Akta Pasport 1966 (Akta 160) serta peraturan imigresen yang berkuat kuasa, selain mengambil kira penilaian keselamatan oleh agensi-agensi berkaitan," ujarnya.


KDN berkata, setiap permohonan kemasukan warga asing ke negara ini akan melalui proses pemeriksaan imigresen, semakan keselamatan dan penilaian risiko yang menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.


Tegas kementerian, mana-mana individu yang dikenal pasti boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam atau kepentingan negara termasuk mereka yang tergolong sebagai imigran larangan di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/1963 tidak akan dibenarkan memasuki Malaysia atau dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.


KDN turut menegaskan pengurusan pintu masuk negara bukan sekadar melibatkan urusan imigresen malah menjadi sebahagian daripada sistem keselamatan negara bersepadu dilaksanakan bersama Polis Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia serta agensi penguatkuasaan lain.


"KDN akan terus memperkukuh kawalan sempadan negara melalui penggunaan teknologi, perkongsian risikan, pemprofilan risiko serta penguatkuasaan bersepadu bagi memastikan Malaysia kekal selamat, berdaulat dan bebas daripada sebarang ancaman yang boleh menggugat keselamatan negara.


"Kementerian kekal komited untuk melaksanakan segala dasar dan keputusan Kerajaan secara profesional, telus dan berintegriti demi memelihara keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat," kata kenyataan itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page