Sebuah penempatan sementara yang memenuhi standard antarabangsa bagi kanak-kanak warga asing dikenali sebagai Baitul Mababbah telah diwujudkan kerajaan bagi memastikan keselesaan golongan terbabit.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, langkah memindahkan kanak-kanak warga asing itu dari depot imigresen ke penempatan sementara itu adalah atas dasar kemanusiaan selain bagi memastikan hak kanak-kanak terbabit dapat terus dilindungi selaras Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).
Ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Baitul Mahabbah di Premis Tadika Kompleks Kediaman Kakitangan Awam (KKKA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin, Saifuddin menjelaskan inisiatif itu turut membabitkan ibu kanak-kanak terbabit.
"Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menempatkan kanak-kanak berumur kurang 10 tahun di penempatan berkenaan, dan sebagai permulaan terdapat 23 kanak-kanak warga asing serta 10 penjaga terdiri daripada ibu kanak-kanak itu berada di pusat ini.
"Mereka Depot Imigresen Bukit Jalil, Depot Imigresen Semenyih, Depot Imigresen KLIA dan Depot Imigresen Eco Millennium Beranang.
"Untuk rekod, terdapat 1,382 tahanan kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah dalam kategori dengan penjaga dan tanpa penjaga. Jumlah ini menjadi sasaran, agar kanak-kanak ini diberikan tempat perlindungan yang lebih ada ihsan dan manusiawi," katanya dipetik.
Saifuddin turut memberitahu, seramai 28 pegawai imigresen dibantu 22 anggota RELA, Penolong Pegawai Perubatan dari Kementerian Kesihatan (KKM) akan bertugas secara syif di pusat jagaan itu.
"Antara kemudahan yang disediakan di pusat jagaan ini ialah ruang pembelajaran, bilik pemeriksaan kesihatan dan rawatan serta taman permainan kanak-kanak," katanya.
Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) pula akan turut bekerjasama memberikan sumbangan barangan keperluan asas seperti lampin pakai buang, pakaian, susu dan makanan.
"Kanak-kanak yang ditempatkan itu akan berada di premis berkenaan sehingga urusan dokumentasi mereka selesai dan dihantar pulang ke negara asal," jelas Saifuddin lagi.
Comentarios