top of page

KDN arah semakan segera kenaikan pangkat penjawat awam

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
Jul 27
2 min read

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan semua ketua jabatan dan setiausaha bahagian melaksanakan semakan menyeluruh terhadap rekod perkhidmatan pegawai bagi memastikan tiada lagi kelewatan atau keciciran dalam urusan kenaikan pangkat penjawat awam.


Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Awang Alik Jeman berkata tindakan itu selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya proses kenaikan pangkat penjawat awam disemak dan dipercepatkan bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.


"Selaras dengan arahan tersebut, saya mohon semua Ketua Jabatan dan Setiausaha Bahagian untuk mengambil tindakan serta-merta dengan membuat semakan menyeluruh ke atas semua rekod perkhidmatan pegawai di bawah seliaan masing-masing terutamanya bagi mereka yang telah lama memenuhi syarat kenaikan pangkat atau tempoh pemangkuan tetapi belum diproses," katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman pada Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya hari ini.


Sebelum ini laporan media tempatan menyebut Perdana Menteri ketika berucap di Perhimpunan Bersama Penjawat Awam Zon Tengah di Universiti Islam Selangor (UIS), Kajang pada 20 Julai lalu mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyemak semula proses kenaikan pangkat penjawat awam.


Perdana Menteri menegaskan isu kelewatan kenaikan pangkat sehingga lapan tahun bagi sesetengah kategori penjawat awam perlu diselesaikan segera.


Awang Alik berkata semua ketua jabatan dan setiausaha bahagian perlu mengambil tindakan serta-merta mengenal pasti pegawai yang telah memenuhi syarat kenaikan pangkat atau tempoh pemangkuan tetapi masih belum diproses.


Beliau berkata semakan itu perlu meliputi semua rekod perkhidmatan pegawai di bawah seliaan masing-masing sebelum senarai pegawai yang terkesan dikemukakan kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (Bahagian SM) untuk tindakan lanjut.


Jelasnya usaha itu diharap dapat mengelakkan sebarang kelewatan atau keciciran maklumat di peringkat kementerian yang boleh menjejaskan kebajikan warga kerja.


Dalam pada itu, Awang Alik turut menyeru seluruh warga KDN menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan 2026 dengan menghayati semangat patriotisme melalui peningkatan kecekapan, integriti dan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.


Beliau berkata, sebagai kementerian yang menerajui aspek keselamatan dan ketenteraman awam, warga KDN perlu menjadi contoh dalam memupuk semangat cintakan negara kerana kemajuan ekonomi dan kemakmuran negara hanya dapat dinikmati sekiranya keselamatan serta keamanan terus terpelihara.


Sehubungan itu, semua ketua jabatan dan ketua bahagian diminta memastikan pejabat serta fasiliti kementerian dihiasi dengan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan, selain menganjurkan program berunsur patriotik bagi memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan warga kerja.


Beliau berkata, semangat kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui komitmen setiap warga KDN dalam mempertahankan keselamatan negara dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.


"Marilah kita terjemahkan erti kemerdekaan dan kedaulatan ini dengan memberikan khidmat bakti yang terbaik, mempertahankan keselamatan tanah air daripada sebarang ancaman, serta mengekalkan semangat kerja berpasukan (esprit de corps) yang utuh," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page