top of page

KDN adakan majlis libat urus selesai segera isu kalimah "Allah"




Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengadakan Majlis Libat Urus Kementerian Dalam Negeri Bersama Cendekiawan Islam dan Asatizah pada 8 Jun 2023 di Parlimen Malaysia.


Dalam satu kenyataan, KDN memaklumkan pertemuan 25 orang cendekiawan dan asatizah bersama Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar.


Pertemuan itu bertujuan untuk mendapatkan cadangan dan pandangan secara kolektif dalam proses penyediaan cadangan penambahbaikan Arahan Pentadbiran berkaitan penggunaan kalimah “Allah” selaras dengan titah daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini.

"Dalam melaksanakan majlis tersebut, para jemputan diberikan ruang untuk mengutarakan cadangan bagi menoktahkan isu-isu berbangkit mengenai kawalan dan penguatkuasaan penerbitan yang berkenaan di Malaysia dalam lingkungan skop mengekalkan dasar sedia ada berhubung penggunaan kalimah “Allah”.


"KDN turut sekali lagi memberikan penerangan terperinci mengenai pendirian dan komitmen Kerajaan dalam menyelaraskan peruntukan undang-undang Islam demi keselamatan negara dan kemaslahatan ummah serta kedudukan Institusi Beraja.


"Bagi memastikan KDN memperoleh cadangan dan penyelarasan yang holistik dalam urusan penambahbaikan Arahan Pentadbiran KDN 1986, siri libat urus ini akan diteruskan dengan segmen pemegang taruh yang lain khususnya bersama Key Opinion Leader, Majlis Agama Islam Negeri, dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," kata kenyataan tersebut.


Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah pada 7 Februari 2023 dan 16 Mei 2023 lalu menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuatkuasa berhubung isu penggunaan kalimah “Allah” dan dasar berkenaan dipertahankan dengan tegas oleh Kerajaan.


Pada 5 Jun 2023, Baginda sekali lagi bertitah agar Kerajaan mengharmonikan situasi semasa dan pada masa yang sama meletakkan penggunaan kalimah “Allah” pada konteks yang betul dengan mengambil kira keselamatan negara dan kemaslahatan ummah serta kedudukan Baginda serta Raja-Raja Melayu yang lain sebagai Ketua Agama Islam.


Sementara itu dalam kenyataan sama, KDN memaklumkan hasil dapatan siri libat urus tersebut kelak akan diteliti dan dirumuskan di peringkat KDN dalam bentuk cadangan penambahbaikan Arahan Pentadbiran yang baharu sebelum diangkat kepada Jemaah Menteri setelah mengambil kira keputusan dasar daripada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, dan Majlis Raja-Raja yang kesemuanya dijadualkan pada tahun 2023.


KDN juga komitmen dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam dari semasa ke semasa secara berterusan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 serta Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan

0 comments

Kommentare


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page