top of page

KBS tidak kompromi salah laku babit dana awam

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 11
  • 1 min read

Menteri Belia dan Sukan (KBS) menegaskan komitmen kementeriannya yang tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku membabitkan dana awam.


Sebagai mengulas isu berkaitan audit terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dr Mohammed Taufiq Johari (gambar) berkata, laporan audit telah dilaksanakan dan sebarang tindakan lanjut akan diambil berpandukan lunas undang-undang sekiranya terdapat unsur kecuaian atau salah laku.


"Kita sentiasa terbuka kepada proses ketelusan termasuk audit, kerana pengurusan dana perlu diketahui secara jelas oleh rakyat. Rakyat juga berhak mengetahui bagaimana dana sesebuah organisasi sukan diuruskan dengan baik dan telus.


"Jika ada kesilapan atau salah laku, kita serahkan kepada pihak berwajib. Tidak ada kompromi khususnya yang melibatkan dana awam dan wang rakyat," katanya dipetik.


Dr Mohammed Taufiq berkata begitu selepas merasmikan Seminar Wanita Dalam Sukan di Majlis Sukan Negara (MSN) di Kuala Lumpur pada Rabu.


Mengulas lanjut, beliau menegaskan KBS tidak akan mencampuri urusan pentadbiran badan sukan, namun tetap memberi penekanan terhadap aspek ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan.


Media sebelum ini melaporkan desakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh supaya laporan penuh audit FAM didedahkan kepada umum dan dibentangkan di Parlimen.


Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman bagaimanapun berkata laporan audit berkenaan tidak boleh didedahkan sewenang-wenangnya kerana memerlukan penelitian rapi selain berpotensi menimbulkan persepsi campur tangan pihak luar dalam urusan pentadbiran badan induk bola sepak negara.


Mohammed Taufiq sementara itu berkata, kementeriannya akan terus menyokong usaha memperkukuh integriti, ketelusan serta tadbir urus sukan negara tanpa mengira mana-mana persatuan yang terlibat.


"Kita terbuka untuk sebarang usaha ke arah memperkukuh ketelusan, namun tindakan sewajarnya perlu diambil oleh pihak berkaitan," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page