KBS teliti pendekatan baharu sasar kutipan pingat di Sukan SEA 2027
- Suara Keadilan

- Mar 21
- 1 min read

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti pendekatan baharu bagi menetapkan sasaran pingat kontinjen negara ke Sukan SEA 2027.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari (gambar) berkata, cadangan menetapkan sasaran pingat emas secara spesifik berbanding jumlah keseluruhan pingat disasarkan seperti yang diguna pakai sebelum ini perlu kajian rapi agar tidak menjejaskan moral serta semangat atlet.
Tambahnya, status Malaysia sebagai tuan rumah edisi ke-34 menuntut sasaran lebih tinggi, bukan sekadar berada dalam kelompok tiga terbaik, sebaliknya memburu gelaran juara keseluruhan yang memerlukan kutipan emas terbanyak.
"Sebagai tuan rumah, sasaran tidak lagi sekadar berada dalam kelompok tiga terbaik, sebaliknya, perlu terarah kepada usaha untuk menjadi juara keseluruhan.
"Untuk menjadi juara, sudah pasti kami perlu menyasarkan pingat emas terbanyak," katanya dipetik Bernama.
Sehubungan itu jelasnya, KBS bakal mengadakan sesi libat urus bersama persatuan sukan, atlet dan pakar sebelum memuktamadkan sasaran.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mogammed Taufiq mendedahkan potensi sukan sepak takraw merangkup pingat pada temasya akan datang, sekiranya momentum semasa dapat dikekalkan.
Beliau berkata, pencapaian cemerlang skuad negara pada Sukan SEA 2025 di Thailand diharap mampu diterjemahkan kepada kejayaan lebih besar apabila Malaysia menjadi tuan rumah.
Pada Sukan SEA 2025, skuad sepak takraw lelaki negara menamatkan penantian 34 tahun pingat emas acara regu berpasukan apabila menewaskan musuh tradisi dan tuan rumah, Thailand pada final sebelum menambah satu lagi emas menerusi acara regu dengan menundukkan Vietnam pada pentas akhir.
"Sepak takraw sekarang mendapat sambutan yang sangat hebat di peringkat akar umbi. Selain mengekalkan keunggulan atlet sedia ada, penting untuk persatuan mencungkil bakat baharu. Kami tidak mahu berlaku tempoh kekosongan pelapis," tambahnya.




Comments