KBS sasar 2,500 pertubuhan belia mohon Geran Sejati Madani 2026
- Suara Keadilan
- 19 hours ago
- 1 min read

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan sebanyak 2,500 pertubuhan belia di seluruh negara memohon Geran Sejati Madani bernilai sehingga RM100,000 sepanjang tahun 2026, melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM250 juta.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari (gambar) berkata, inisiatif berkenaan merupakan kali pertama Geran Sejati Madani diperluaskan secara khusus kepada pertubuhan belia yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).
Menurutnya, pemberian geran itu bukan bersifat 'one-off' sebaliknya bertujuan membantu pertubuhan belia menjana pendapatan secara mampan selain melahirkan generasi pelapis negara yang berdikari.
"Kita tidak mahu RM100,000 ini bukan sekadar diberi dan habis begitu sahaja.
"Hasrat kita ialah supaya geran ini mampu berkembang daripada RM100,000 menjadi RM500,000 atau bahkan RM1 juta dalam tempoh setahun melalui aktiviti penjanaan pendapatan pertubuhan," katanya dipetik.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Santuni Pertubuhan Belia Peringkat Kebangsaan 2026 dan Majlis Peluncuran Sejati Madani X Belia di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada Ahad.
Mengulas syarat permohonan geran, beliau berkata, pertubuhan belia perlu berdaftar di bawah ROY serta wajib menghadiri Program Santuni Pertubuhan Belia sebagai syarat utama sebelum permohonan boleh dibuat secara dalam talian.
"Selain itu, pemohon juga perlu mengemukakan beberapa dokumen penting manakala pelaksanaan projek akan dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, sementara KBS memantau keberhasilan keseluruhan program," katanya.





