KBS peruntuk RM100 Juta untuk tiga dana sukan tahun depan - Hannah Yeoh
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 1 min read

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM100 juta bagi tiga dana sukan utama tahun depan.
Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh (gambar) berkata, dana itu merangkumi RM50 juta untuk Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWSN), RM30 juta untuk Geran Padanan Sukan (GPS) dan RM20 juta kepada Dana Sukan Komuniti (DSK).
"Peruntukan ini bagi memudahkan persatuan dan penganjur merancang serta mengemukakan permohonan lengkap.
"Pihak yang ingin membuat permohonan boleh berurusan secara langsung dengan KBS atau agensi di bawah kementerian. Tiada caj, komisen atau ‘runner’ dikenakan bagi urusan permohonan," kata Hannah dipetik.
Beliau turut memaklumkan, terma dan syarat terperinci termasuk jadual permohonan akan dimuat naik menerusi laman web KBS mulai 15 Dis.
GPS adalah tuntutan bayaran balik untuk kejohanan berprestasi tinggi, dengan kelulusan maksimum RM1 juta bagi acara berskala besar yang memberi impak kepada negara.
DSK pula sebagai bantuan sekali bayar yang mengutamakan persatuan sukan berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan kelab belia berdaftar dengan ROY dengan menyasarkan program sukan dan rekreasi pada peringkat daerah serta negeri.
Mulai tahun depan menurut Hannah, DSK turut dibuka kepada pertubuhan sukan berdaftar di bawah ROS.
Sementara KWSN terbuka kepada atlet persendirian untuk sukan Olimpik, dengan penyertaan luar negara hanya bagi kejohanan berstatus ranking dunia; manakala permohonan bagi kejohanan tidak diiktiraf atau perlawanan persahabatan tidak akan diluluskan.





