KBS mahu martabatkan silat sebagai teras pembangunan belia
- Suara Keadilan

- 6 days ago
- 1 min read

Penglibatan belia dalam seni silat perlu dilihat melangkaui dimensi sukan pertahanan diri semata-mata, sebaliknya sebagai wadah penting dalam pembentukan jati diri, disiplin dan nilai kebersamaan generasi muda.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menegaskan, seni warisan itu wajar diangkat martabatnya ke peringkat tertinggi kerana peranannya yang besar dalam menyatupadukan masyarakat serta membentuk identiti anak muda.
"Kita melihat silat sebagai wadah yang menyatukan, membentuk jati diri anak muda.
"Sebab itu bagi saya penting untuk kita mengangkat martabat silat ke peringkat lebih tinggi," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kejuaraan Silat Piala Pendekar Utama Negara Datuk Dr Raja Abdul Majid Terbuka Peringkat Kebangsaan 2025/2026 di Sungai Petani pada Rabu.
Program bertemakan “Gema Pahlawan MADANI” itu menghimpunkan hampir 2,000 peserta dari seluruh negara, sekali gus mencerminkan potensi besar silat sebagai medium pembangunan bakat dan nilai kepimpinan belia.
Dr Mohammed Taufiq sementara itu berkata, kementeriannya bersedia mengadakan perbincangan bersama semua persatuan silat bagi merangka hala tuju seni warisan tersebut secara lebih tersusun dan berdaya saing.
"Kita mahu melahirkan lebih ramai atlet silat yang bukan sahaja mengharumkan nama negeri, tetapi mampu menembusi peringkat kebangsaan dan antarabangsa," ujarnya.









Comments