top of page

KBS-Jakim lancar Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan

  • 6 minutes ago
  • 2 min read
Dr Taufiq bersama Dr Zulkifli bercakap majlis prapelancaran program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan
Dr Taufiq bersama Dr Zulkifli bercakap majlis prapelancaran program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan

Oleh: Akmal Manaf


Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) atau Jakim bagi menjayakan program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan sebagai usaha memperkukuh pembangunan belia secara holistik dan berteraskan nilai Malaysia MADANI.


Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, ia merupakan satu kerjasama strategik antara KBS dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk memperkukuhkan agenda pembangunan belia yang holistik dan berteraskan nilai Malaysia MADANI dan inisiatif ini mengiktiraf peranan rumah ibadat sebagai sumber pengetahuan, pusat kerohanian dan institusi sosial yang inklusif untuk menyatukan serta memperkukuhkan keharmonian.


"Pendekatan ini turut menyahut hasrat Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diwujudkan jawatankuasa belia di peringkat masjid.


"Jadi KBS mengambil inisiatif ini untuk wujudkan dan hari ini kita telah menandatangani satu MoU untuk kerjasama strategik.


"Suka untuk saya ingatkan bahawa masjid ini bukan hanya satu rumah ibadat untuk kita melaksanakan ibadah dan sebagainya, tetapi ia adalah sebuah institusi ketika kita sebut tentang mengimarahkan masjid itu sendiri, adalah untuk kita melahirkan generasi masa depan yang lebih cemerlang, generasi belia anak muda yang dalam dirinya itu penuh dengan disiplin, ilmu, sahsiah, jati diri dan segala kelengkapan yang ia perlu ada untuk memastikan ia boleh menjadi pelapis masa depan negara untuk Malaysia," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media pasca majlis prapelancaran program tersebut di Menara KBS, di Putrajaya hari ini yang turut dihadiri Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Dr Zulkifli Hasan.


Dalam pada itu, Dr Zulkifli berkata, pelaksanaan program berkenaan akan memberi tumpuan kepada aktiviti Ramadan di lebih 100 daerah seluruh negara dengan kerjasama KBS, Jabatan Agama Islam negeri-negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta agensi agama berkaitan.


"Kita menumpukan kepada aktiviti-aktiviti Ramadan di seluruh negara. Pelbagai program dilaksanakan untuk anak muda di seluruh negara tetapi ianya bukan berakhir di bulan Ramadan, kita akan teruskan lagi.


"Buat pengetahuan semua, kita sudah gerakkan idea PM Anwar untuk mewujudkan jawatankuasa khas anak muda di masjid dan mereka inilah yang akan mengimarahkan dan meneruskan program-program dan agenda seterusnya," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page