
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal melancarkan satu garis panduan terhadap Pelan Strategik Pembangunan Sukan Elektronik (e-Sukan) dalam masa terdekat.
Timbalan Menterinya Adam Adli Abd Halim berkata garis panduan itu termasuk usaha memastikan akses terbaik dapat diberikan terhadap infrastruktur sukan tersebut.
Bagi tujuan itu katanya, kementerian turut akan menjalinkan kerjasama dengan agensi berkaitan bagi membangunkan garis panduan tersebut khusus dalam memperincikan semua tindakan yang terkandung dalam pelan berkenaan.
Sementara itu jelasnya bagi menyokong pertumbuhan ekosistem e-sukan negara, KBS telah membangunkan E-Sport Integrated Hub (ESI HUB) melalui penyediaan ruang kejohanan dan acara, pusat latihan sebagai hub jaringan pelbagai program profesional dan pembangunan kapasiti.
"Bagi memastikan pembangunan infrastruktur e sukan lebih baik, KBS juga telah membangun dan menaik taraf 13 e-sport studio yang memberi manfaat kepada 13 persatuan negeri di seluruh negara.
"Penyediaan infrastruktur khusus setiap negeri ini mampu membantu untuk meningkatkan pembangunan e-sukan negara melalui penganjuran kejohanan di peringkat tempatan sebagai studio produksi untuk penganjuran kejohanan dalam talian," kata Adam Adli di Dewan Negara semalam.
Mengulas lanjut mengenai sektor sukan elektronik di negara ini, beliau menjelaskan KBS membangunkan sebuah pusat latihan kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN).
Ia bagi memastikan persediaan atlet e sukan negara utk bertanding di kejohanan antarabangsa berjalan lancar selain membantu keperluan penganjuran malaysia dalam Malaysian ESports League (MEL).