KBS anjur 4th Youth Dialogue bersempena sidang Kemuncak ASEAN
- Suara Keadilan
- 5 days ago
- 1 min read

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganjurkan 4th ASEAN Youth Dialogue dan 4th ASEAN Youth Leaders Interface with ASEAN Leaders bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Menterinya Hannah Yeoh berkata, bertemakan Youth for a Sustainable Future: Empowering Inclusion and Driving Change in ASEAN, program itu akan berlangsung selama 6 hari sehingga 28 Mei ini.
"Program ini bertujuan memperkukuh peranan belia sebagai agen perubahan dalam pembangunan mampan dan kelestarian rantau ASEAN.
"Sepanjang program, peserta terlibat dalam pelbagai sesi termasuk dialog dasar, bengkel dan perbincangan mengenai isu utama seperti pendidikan, ekonomi, inovasi digital, iklim, kesihatan mental dan keterangkuman sosial," katanya dipetik.
Hannah sebelumnya hadir ke majlis pelancaran 4th ASEAN Youth Dialogue, di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, program tersebut akan menghimpunkan lebih 85 pemimpin belia dari negara-negara ASEAN dan Timor-Leste serta wakil-wakil agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selaku rakan strategik.
Sesi ini turut memberi peluang kepada wakil belia ASEAN untuk berkongsi pandangan dan harapan mereka secara langsung kepada para pemimpin tertinggi rantau.
"Peserta akan merangka cadangan dalam Kenyataan Belia ASEAN yang akan membantu membentuk agenda belia ASEAN.
"Peluang untuk membentangkan Kenyataan Belia ASEAN kepada semua pemimpin ASEAN merupakan satu platform hebat untuk memastikan suara golongan belia didengari," tambahnya.
Comments