top of page

KBS ambil tindakan kontraktor projek ‘gajah putih’ Kompleks Sukan Jasin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 minutes ago
  • 1 min read

Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka tinjau projek pembinaan Kompleks Sukan Mini di Bemban, Jasin yang terbengkalai pada tahun lalu. Kredit foto: IG JBSN Melaka
Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka tinjau projek pembinaan Kompleks Sukan Mini di Bemban, Jasin yang terbengkalai pada tahun lalu. Kredit foto: IG JBSN Melaka

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan projek Pembinaan dan Penyiapan Kompleks Sukan Mini serta Kerja-Kerja Berkaitan di Bemban, Jasin, Melaka, yang kini diklasifikasikan sebagai projek terbengkalai atau ‘gajah putih’.


Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat KBS, projek berkenaan merupakan inisiatif kementerian untuk menyediakan kemudahan sukan dan komuniti kepada masyarakat setempat, merangkumi pembinaan pejabat pentadbiran, auditorium, dewan serbaguna, gelanggang sukan, asrama serta kafetaria.


"Projek ini bermula pada 12 April 2021 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 29 April 2024. Namun begitu, kontraktor asal gagal menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan," kata kenyataan tersebut.


KBS memaklumkan bahawa kegagalan kontraktor melaksanakan kerja dengan komitmen sewajarnya telah menjejaskan kepentingan awam, sekali gus memaksa kementerian mengambil langkah tegas selaras dengan peruntukan kontrak.


"Notis Penamatan Pengambilan Kerja Kontraktor telah dikeluarkan pada 10 September 2024 berikutan kegagalan kontraktor mematuhi syarat-syarat kontrakapabila bertindak meninggalkan tapak projek," jelas KBS.


Sehubungan itu, KBS memaklumkan bahawa projek berkenaan akan ditender semula selewat-lewatnya pada awal Januari 2026 bagi memastikan kemudahan yang dirancang dapat disiapkan dan dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.


KBS menegaskan komitmen kementerian untuk memastikan setiap projek pembangunan sukan dilaksanakan secara telus, berkesan dan memberi manfaat sebenar kepada rakyat, selain tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal memenuhi tanggungjawab kontrak.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page