KBS akan perluas inisiatif kesihatan mental, kesejahteraan belia
- Suara Keadilan

- 5 days ago
- 2 min read

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal mempergiat usaha meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan belia di seluruh negara.
Menterinya Dr Mohammed Taufiq Johari (gambar) berkata, golongan belia cenderung menjauh jika bantuan dilihat terlalu klinikal atau formal.
Justeru, kementeriannya akan mengambil pendekatan yang lebih ke arah advokasi kesihatan serta pengukuhan sokongan komuniti bagi memastikan golongan belia memperoleh maklumat, bimbingan dan persekitaran yang kondusif.
"Oleh itu, pendekatan rakan sebaya digerakkan melalui inisiatif seperti Projek Dengar Rakan Muda untuk menyediakan ruang selamat untuk belia berkongsi isu serta mendapatkan sokongan emosi dengan bimbingan kaunselor dan sukarelawan terlatih," katanya dipetik.
Dr Mohammed Taufiq berkata begitu ketika menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara semalam.
Projek Dengar Rakan Muda dilancarkan pada 25 Oktober 2025 di Kuala Lumpur dan diadakan setiap Sabtu minggu pertama.
Ia dijangka diperluas ke fasiliti belia di Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak bermula tahun depan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani sementara itu berkata, kementerian turut giat mempromosi gaya hidup sihat melalui Liga Sukan Komuniti, Malaysia Aktif @ Komuniti, dan Hari Sukan Negara.
Dalam masa sama, kerjasama rentas agensi juga diperkukuh, termasuk Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melalui 54 siri program di 18 Pusat KafeTEEN, serta 45 siri program bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi belia berisiko tinggi.
"Melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), pelbagai program intervensi dilaksanakan sepanjang 2025, termasuk persidangan antarabangsa dan sesi meja bulat mengenai kesihatan mental, pendidikan seksual, dan pencegahan tingkah laku bunuh diri.
"Dua risalah panduan juga dibangunkan bersama Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan untuk membantu belia, penjaga, dan penyedia perkhidmatan mengenal pasti tanda awal masalah mental dan mendapatkan bantuan profesional.
"Bagi sokongan segera, belia boleh menghubungi talian HEAL 15555 dari 8 pagi hingga 12 tengah malam," jelasnya.




Comments