Kaum India satukan suara, libat secara konstruktif bersama Kerajaan MADANI
- Helmi Mohd Foad

- Jun 4
- 2 min read

Masyarakat India perlu terus terlibat secara konstruktif dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak hanya menumpukan kepada kritikan semata-mata, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George (gambar).
Beliau berkata masyarakat India perlu menyuarakan keperluan mereka secara jelas dan kolektif serta memastikan komuniti itu terus mendapat manfaat daripada pelbagai program dan inisiatif kerajaan yang sedang berjalan.
"Sebagai sebuah komuniti minoriti di Malaysia, masyarakat India menikmati hak dan peluang yang dikongsi bersama semua rakyat Malaysia selain menerima pelbagai bentuk bantuan serta peruntukan khusus melalui pelbagai agensi dan program kerajaan.
"Kita harus memberi tumpuan kepada usaha menyuarakan keperluan komuniti secara jelas, memperkukuh suara kolektif serta memastikan masyarakat India terus mendapat manfaat daripada program pembangunan dan inisiatif kerajaan yang sedang berjalan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Gunaraj berkata meskipun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, masyarakat India perlu mengakui bahawa kemajuan sedang berlaku.
"Tidak semua isu dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat dan tidak semua harapan dapat dipenuhi serta-merta," katanya.
Gunaraj berkata, pelbagai inisiatif seperti program di bawah MITRA, bantuan pendidikan, pembangunan keusahawanan, latihan kemahiran, program pemerkasaan belia serta sokongan berterusan kepada institusi pendidikan seperti AIMST University membuktikan komitmen kerajaan terhadap pembangunan komuniti India.
Beliau menegaskan sokongan kepada kerajaan tidak bermaksud masyarakat India perlu berdiam diri terhadap sebarang kelemahan.
"Sokongan tidak bermaksud kesetiaan membuta tuli. Kepercayaan tidak bermaksud berdiam diri. Kita mesti terus memastikan para pemimpin dipertanggungjawabkan, membangkitkan kebimbangan yang sah serta menuntut hasil yang nyata.
"Pada masa sama, kita juga perlu mengiktiraf perkembangan positif dan menyokong dasar yang menyumbang kepada kemajuan komuniti kita," katanya.
Kenyataan Gunaraj itu dikeluarkan ketika beberapa isu berkaitan masyarakat India kembali menjadi perdebatan dalam ruang politik negara sejak kebelakangan ini, termasuk tuntutan berkaitan peluang pendidikan, pembangunan ekonomi, pemilikan ekuiti, peluang pekerjaan serta keberkesanan pelaksanaan program pemerkasaan komuniti.
Dalam masa sama, terdapat juga gesaan daripada beberapa pihak supaya masyarakat India menilai semula sokongan politik mereka menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, susulan dakwaan bahawa sebahagian tuntutan komuniti masih belum ditangani sepenuhnya.
Gunaraj berkata masyarakat India perlu mendepani landskap politik semasa dengan penuh kesabaran, kematangan dan pemahaman yang jelas mengenai hala tuju yang ingin dicapai oleh komuniti itu.
Beliau mahu komuniti tersebut menilai keadaan secara realistik dan tidak terburu-buru membuat keputusan yang boleh menjejaskan usaha serta program yang sedang memberi manfaat kepada komuniti.
"Kita harus bertanya kepada diri sendiri sama ada wajar untuk mengganggu usaha dan program yang sedang memberi manfaat kepada komuniti ketika masih terdapat masa untuk lebih banyak pelaksanaan dan libat urus sebelum PRU akan datang.
"Dengan pilihan raya umum dijangka berlangsung dalam tempoh setahun akan datang, inilah masanya untuk komuniti memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia, memperkukuh penglibatan dengan pembuat dasar serta terus memperjuangkan sokongan yang lebih besar dalam bidang pendidikan, pemerkasaan ekonomi, keusahawanan, pekerjaan dan mobiliti sosial," katanya.
Beliau turut mempersoalkan apakah dasar serta komitmen khusus yang ditawarkan oleh pihak pembangkang kepada masyarakat India sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan pada masa hadapan.
"Kritikan semata-mata tidak mencukupi. Komuniti ini berhak mendapat cadangan yang konkrit, komitmen yang boleh diukur serta pelan tindakan yang jelas untuk kemajuan," katanya.




A good name generator can make a huge difference when you're stuck for ideas. I found several names here that fit both gaming and social media profiles.