Oleh: Abdullah Zaid
Kaukus Palestin Parlimen Malaysia mencadangkan tiga tindakan segera dan muktamad kepada komuniti dunia bagi mengakhiri isu kemanusiaan yang serius di Gaza.
Menerusi satu kenyataan wakil Dewan Rakyat itu mendesak tiga perkara antaranya mengakhiri genosid dan kebuluran di Gaza dengan melaksanakan gencatan senjata yang segera dan kekal; menghentikan sekatan yang tidak adil; dan memastikan kemasukan segera bantuan kemanusiaan yang penting.
Tegasnya, krisis kemanusiaan yang berlarutan di Semenanjung Gaza menuntut perhatian dan reaksi global yang tuntas.
"Genosid dan kebuluran sistematik yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, terutamanya semasa bulan Ramadan adalah satu pelanggaran yang gawat terhadap hak asasi manusia dan ketidakadilan yang tiada toleransi.
"Selain itu, sekatan yang dikenakan ke atas Gaza akibat penaklukan Israel telah mengakibatkan penderitaan yang tidak terbayang, dengan warga awam yang tidak berdosa menanggung derita kekejaman tiada belas kasihan, serangan sembarangan, kekurangan makanan, ubat, dan bekalan penting yang lain.
"Sasaran yang terancang ke atas infrastruktur awam, termasuk rumah, sekolah, hospital, dan masjid, adalah satu pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan tatasusila asas manusia," kata kaukus.
Justeru, Kaukus Parlimen Malaysia mahu komuniti antarabangsa terus mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman pendudukan Israel dan menuntut gencatan senjata segera kekal untuk menghentikan pertumpahan darah dan menghalang pembunuhan lebih kritikal.
"Sekatan harus diangkat untuk membolehkan akses tanpa batasan bantuan kemanusiaan dan bekalan ke Gaza.
"Penafian kepada keperluan asas seperti makanan, air dan rawatan perubatan bukan sahaja satu pelanggaran terhadap hak asasi manusia tetapi juga satu bentuk hukuman kolektif yang tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa," katanya.
Tambah kenyataan itu, tatkala umat Islam di seluruh dunia meraikan ketibaan bulan suci Ramadan, dunia menyaksikan penderitaan berterusan yang dialami penduduk Gaza.
"Kesucian bulan yang mulia ini sepatutnya menjadi peringatan kepada warga dunia untuk berdiri bersama-sama dengan golongan tertindas dan menuntut keadilan untuk rakyat Palestin," ujar kenyataan itu lagi.
Commentaires