Karya sastera bermutu perlu diangkat, dihayati - Fadhlina
- Suara Keadilan
- Jul 13
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Karya-karya sastera bermutu termasuk hasil para pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) diangkat dan diperluas penghayatannya kepada masyarakat.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan, karya sastera bukan sahaja mencerminkan sejarah dan pemikiran rakyat tetapi sebahagian proses pendidikan generasi muda.
"Pemenang HSPM dan karya-karya sastera bermutu perlu dibawa kepada masyarakat melalui penganjuran acara seperti diskusi karya, persembahan lagu puisi, cerita, drama pentas serta deklamasi sajak.
"Saya tidak mahu penganjuran sebuah acara yang (sekadar) biasa-biasa sahaja. Sebaliknya, ia perlu berperanan untuk memperkukuh ekosistem sastera," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya.
Beliau berkata begitu sebagai mengulas ucapannya di majlis meraikan pemenang dan penggerak sastera negara pada Majlis Penyampaian HSPM 2021/2022 pada Khamis lalu.
Penganjuran anugerah SHPM merupakan antara usaha berterusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengangkat martabat bahasa dan sastera kebangsaan menerusi pengiktirafan kepada penulis yang menghasilkan karya bermutu tinggi.
Fadhlina sementara itu mengakui HSPM telahmemberi sumbangan besar kepada perkembangan sastera di Malaysia.
Justeru Kementerian Pendidikan (KPM) jelasnya sangat berbesar hati menerima karya-karya sastera bermutu yang dijadikan teks Komponen Sastera (KOMSAS).
"Karya sastera yang hebat di dalamnya ada nilai, etos, idealisme, perjuangan, latar budaya dan masyarakat yang kuat. Nilai-nilai insani yang terkandung di dalamnya adalah teras penting untuk kita membangunkan Malaysia MADANI," kata Ketua Wanita KEADILAN itu lagi.
Comments