Kartel dalam PDRM: Tubuhkan suruhanjaya siasatan, bukan selesai secara dalaman



Kontroversi kewujudan 'kartel' dalam pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sebagaimana yang ditimbulkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Hamid Bador baru-baru ini memerlukan siasatan yang menyeluruh dan tidak boleh diselesaikan melalui mekanisme dalaman.


Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat berkenaan Kebebasan Asasi Dan Hak-Hak Di Bawah Perlembagaan, Hassan Abdul Karim berkata, satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu dibentuk bagi menyelidiki isu tersebut dengan terperinci dan bebas serta diyakini.


Katanya, penyelesaian melalui mekanime dalaman tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya memberi 'laluan' kepada perkara itu untuk berulang pada masa akan datang.


"Saya Ahli Parlimen Pasir Gudang merupakan seorang daripada 7 anggota Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut. Saya melihat peranan Jawatankuasa Pilihan Khas penting (dalam menyelesaikan isu kartel) walaupun dalam keadaan darurat dikuatkuasakan dan Parlimen digantung.


"Sebagai seorang ahli Jawatankuasa Pilihan Khas, saya berasa bertanggungjawab untuk mengemukakan pandangan tentang wujudnya amalan negatif yang dipanggil kegiatan kartel dalam PDRM seperti yang didedahkan oleh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Hamid Bador baru-baru ini, iaitu sebelum sambutan Hari Polis ke 214 pada 25 Mac lalu.


"Saya menganggap isu-isu yang berkaitan integriti dan kepincangan dalam PDRM adalah perkara yang serius dan tidak boleh disapu di bawah karpet ataupun dicari penyelesaian melalui 'mekanisme dalaman'," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Hassan lagi, sebelum ini sebagai Ahli Parlimen beliau telah menyuarakan agar RCI tersebut dibentuk. Malah banyak pihak juga membuat tuntutan yang sama.


Namun malang katanya, terdapat suara dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan Hal Undang-Undang yang menolak cadangan penubuhan RCI berkenan.


"Hari ini, saya mengulangi lagi tuntutan supaya diadakan RCI atas sifat sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat. Sebagai permulaan ke arah pembentukan RCI tersebut, saya mencadangkan Tan Sri Hamid Bador membuat dua laporan rasmi selaku KPN.


"Pertama laporan polis dan kedua, laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kesalahan-kesalahan yang dilakukan pihak yang dipanggil kartel, yang didedahkan oleh KPN itu merupakan kesalahan-kesalahan jenayah, antaranya di bawah Kanun Keseksaan dan juga di bawah Akta SPRM.


"Jika kesalahan jenayah yang berlaku di hadapan mata atau dalam pengetahuan seseorang dan tidak dibuat laporan polis ataupun laporan SPRM maka ia boleh dianggap suatu “omission”," tegas Hassan.


Bagi Hassan, penubuhan RCI amat penting kerana pihak PDRM dianggap badan berintegriti dan tempat di mana masyarakat awam bergantung harapan dalam menyelesaikan hal-hal jenayah.


Oleh yang demikian, katanya PDRM perlu mengutamakan prinsip kedaulatan undang-undang di atas segala-galanya.


"Mengapa saya tegaskan penting RCI ditubuhkan? Jawapannya kerana peranan PDRM amat penting dalam menegakkan dua prinsip utama dalam urusan kenegaraan, iaitu mendaulatkan undang-undang (rule of law) serta menjamin keluhuran Perlembagaan (supremacy of Federal Constitution).


"Jadi amalan kartel dalam PDRM yang amat negatif itu mesti dibasmi. Ia bukan satu gejala baru yang baru hendak bertunas. Tetapi ia sudah berakar umbi. Tindakan tegas perlu diambil sekarang," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
1638
3
1449
Total
349,610
1286
333,892

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
634,746
6,993
432,526
Total
130,914,490
2,852,527
105,374,969

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER