Penganjuran karnival Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia pada 3-5 Mac 2022 di Dataran Angsana, Johor Bahru menimbulkan keresahan mengenai Prosedur Operasi Piawai (SOP) dua darjat antara parti kerajaan dan parti pembangkang.
Menurut calon KEADILAN DUN Larkin, Dr Zamil Najwah Arbain, karnival tersebut biar pun dianjurkan untuk rakyat tetapi umum mengetahui penganjurannya lebih kepada memperkenalkan calon BN dan menjadi medan pemimpin BN beramah mesra dengan pengundi.
Namun katanya, tidakkah pemimpin BN prihatin karnival yang sama di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat sebelum ini telah mengakibatkan penularan wabak Covid-19 sehingga sebuah asrama terpaksa ditutup.
"Karnival yang diadakan ketika para pelajar MRSM sedang dalam persediaan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menimbulkan kemarahan ibubapa pelajar kerana kerajaan tidak memperdulikan keselamatan rakyat dalam keghairahan berkempen.
"Selain soal penularan wabak Covid-19, saya juga ingin mempersoal layanan dua darjat antara pihak kerajaan dan pembangkang dalam PRN kali ini.
"Saya ingin tahu adakah karnival ini tertakluk kepada SOP seperti kehadiran tidak melebihi 100 orang, masa program tidak melebihi 2 jam dan tidak ada edaran risalah atau 'goodies bag' selain jaminan pematuhan penjarakkan sosial?" tanyanya.
Tegas Dr Zamil, program anjuran kerajaan BN sebelum ini jelas melanggar SOP namun tidak pula dikenakan sebarang tindakan oleh petugas Kementerian Kesihatan yang memantau, berbanding kompaun 'segera' dalam ceramah pembangkang.
"Berbeza dengan pihak pembangkang, terdapat petugas dari KEADILAN di DUN Larkin yang telah dikenakan kompaun hanya kerana mengedar risalah. Di manakah keadilan buat parti-parti politik dalam berkempen pada PRN kali ini?
"Saya melihat Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia hanya untuk mengaburi mata bagi kerajaan BN mempergunakan jentera kerajaan dalam kempen PRN Johor.
"Saya menolak alasan Karnival dianjurkan bukan bermotif politik. Harus diingat sebarang penganjuran program oleh pihak kerajaan mahupun parti politik ketika pilihan raya berlangsung merupakan kempen," katanya.
Dr Zamil berkata, jika benar karnival itu tiada niat politik maka sebaik baiknya ia dianjurkan selepas pilihan raya 12 Mac ini.
Comments