top of page

Karikatur: Hina Thailand, Kemboja, M'sia, pemimpin Pas diseru mohon maaf

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 29
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Pemimpin Pas diseru membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat di negara ini, Kemboja dan Thailand susulan satu karikatur memaparkan monyet, kambing dan biri-biri selepas kedua-dua negara itu bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat petang semalam.


Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit (gambar) menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas daripada Pas, Ahmad Fadhli Shaari dalam memperlekehkan kejayaan negara mendamaikan konflik Thailand-Kemboja sebagai tidak wajar, dan mencemarkan nama baik Malaysia di pentas antarabangsa.


"Karikatur tersebut bukan sahaja tidak sensitif terhadap konteks sebenar, malah memperlekehkan usaha murni negara dalam memainkan peranan sebagai pendamai serantau.


"Ia merupakan satu penghinaan terhadap usaha diplomatik yang telah mendapat pengiktirafan serta penghargaan daripada kerajaan Thailand dan Kemboja, malah disambut baik oleh komuniti antarabangsa.


"Perbuatan ini langsung tidak mencerminkan nilai dan budi pekerti rakyat Malaysia yang terkenal dengan prinsip kesopanan,

hormat-menghormati dan semangat kejiranan yang tinggi dalam kalangan negara serantau," katanya menempelak perbuatan Ketua Penerangan Pas Pusat itu.


Dalam kenyataan sama, Abun yang juga Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak, menzahirkan sokongan penuh terhadap peranan aktif yang dimainkan Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan PM Anwar dalam menyumbangkan kepada keamanan dan kestabilan serantau.


Katanya, kejayaan Malaysia sebagai mediator membuktikan kebijaksanaan pimpinan negara serta kewibawaan Malaysia di mata dunia.


"Kebebasan bersuara harus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Menjadikan usaha diplomatik yang membawa kepada keamanan sebagai bahan sindiran merupakan tindakan yang tidak beretika, tidak patriotik dan memperlekehkan pengorbanan negara dalam menjunjung nilai keamanan.


"Saya menggesa semua pihak, termasuk pengamal media dan seni untuk lebih beradab dan menghormati usaha negara dalam mengangkat martabat Malaysia sebagai pembina keamanan serantau.


"Malaysia akan terus berdiri teguh sebagai jambatan damai ASEAN di bawah pimpinan PM Anwar," katanya yang mengikrarkan sokongan penuh kepada kepimpinan Kerajaan MADANI.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page