Karikatur: Fadhli Shaari perlu berhenti jadi watak ‘badut politik’
- Suara Keadilan

- Jul 29
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
KEADILAN mengecam tindakan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari yang memuat naik satu karikatur satira menghina peranan Malaysia dalam usaha mendamaikan konflik bersenjata antara Thailand dan Kemboja.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas itu sebagai melampaui batas seorang Ahli Parlimen apabila memperlekehkan misi diplomatik penting Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Tindakan tersebut bukan sahaja satu penghinaan terhadap misi kedamaian yang berpotensi menyelamatkan ribuan nyawa, malah biadab terhadap usaha Perdana Menteri dan peranan Malaysia sebagai pendamai serantau," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Saifuddin, tindakan tidak bertanggungjawab Ahmad Fadhli itu mencerminkan sikap terdesak seorang pemimpin politik yang ketandusan idea dan gagal membaca keutamaan dalam politik serantau.
"Adakah Fadhli Shaari dan Pas begitu cemburu dengan kejayaan diplomatik Malaysia sehingga sanggup memperlekehkan peranan negara dalam rundingan damai ASEAN?
"Atau ini sekadar tindakan balas akibat kegagalan mereka menarik sokongan rakyat dalam demonstrasi jalanan minggu lalu?" soalnya.
Tambah Saifuddin, Fadhli sebagai tokoh pemimpin pembangkang tidak seharusnya mencetuskan publisiti murahan yang mencalarkan kredibiliti Malaysia di mata dunia.
"Beliau perlu menghentikan watak sebagai ‘badut politik’ yang mungkin menghiburkan kelompok tertentu, tetapi memberi kesan buruk kepada reputasi negara
"Fadhli perlu segera memohon maaf, bukan sahaja kepada YAB Perdana Menteri, tetapi juga kepada rakyat Thailand dan Kemboja yang menghargai usaha damai ini," katanya lagi.
Saifuddin menerusi kenyataan sama turut mengingatkan semua pemimpin politik agar mengamalkan etika dalam berkomunikasi dan mengekalkan kesopanan, terutama apabila berdepan isu-isu melibatkan diplomasi dan keselamatan serantau.









Comments